Putrajaya tak bayar sesen untuk 12 dron AS, kata Kementerian Pertahanan

Kementerian Pertahanan berkata, 6 dron ScanEagle dijangka diterima TUDM pada pertengahan November ini. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Putrajaya tidak akan mengeluarkan sesen untuk 12 dron pengawasan bernilai AS$19 juta (RM79.5 juta) dari Amerika Syarikat kerana ia sebahagian usaha dalam membantu sekutunya di Asia Tenggara bagi meningkatkan keselamatan maritimnya.

Kementerian Pertahanan berkata, Washington melalui usaha yang dinamakan program Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI) itu akan menyediakan bekalan aset dan latihan yang akan dibiayai sepenuhnya negara itu.

“Tentera Laut Diraja Malaysia akan menerima aset ini secara berperingkat bermula 2019 hingga 2022, di mana kumpulan pertama sebanyak 6 ScanEagle UAV dijangka diterima pada pertengahan November ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain TUDM, katanya, agensi penguatkuasaan lain turut menerima manfaat di bawah program MSI.

“Malaysia sebagai sebuah negara maritim amat memerlukan keupayaan ‘intelligence, surveillance dan reconnaissance’ (ISR) untuk mengawasi laluan strategiknya yang luas di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.”

Selasa lalu, Reuters melaporkan Washington meneruskan satu perjanjian AS$47 juta untuk menjual 34 dron ScanEagle buatan Boeing Co kepada Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Laporan itu memetik Pentagon sebagai berkata, 12 dron tidak bersenjata yang bernilai kira-kira AS$19 juta dijual kepada Malaysia, manakala Indonesia dan Filipina masing-masing 8 dron serta Vietnam (6).

Menurut laporan itu, penjualan dron itu sebahagian usaha Presiden Donald Trump untuk meningkatkan kemampuan pengumpulan risikan ketika ketegangan dengan China semakin memuncak.