Banjir di Perak, lebih 100 mangsa dipindahkan

APM Perak berkata, hujan lebat petang tadi menyebabkan paras air naik sehingga kira-kira 4 kaki atau 1.12 meter. (Gambar Facebook)

IPOH: 141 orang daripada 34 keluarga yang terjejas banjir berikutan hujan lebat di 2 daerah di Perak masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Zairil Anuar Zulmuji berkata, bagi daerah Hilir Perak, jumlah mangsa banjir meningkat daripada 100 orang melibatkan 25 keluarga pada 2.30 petang tadi kepada 127 terdiri daripada 32 keluarga setakat pukul 9 malam ini.

Katanya, semua penduduk yang terjejas dengan bencana alam itu kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.

“Hujan lebat petang tadi menyebabkan paras air naik sehingga kira-kira 4 kaki atau 1.12 meter. Bagaimanapun, cuaca pada malam ini bertambah baik,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Banjir di Hilir Perak sejak semalam melibatkan 3 kampung, iaitu Kampung Batu 7½, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9.

Zairil berkata, jumlah mangsa banjir di daerah Kampar setakat pukul 9 malam ini kekal seperti semalam, iaitu 14 orang daripada 2 keluarga.

Katanya, semua mangsa dari Kampung Cabang Dua, Kuala Dipang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Dipang.