Doktor Malaysia digantung selepas buat komen ‘wanita berhak dirogol’

Christopher Lee Kwan Chen. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang doktor Malaysia yang menulis komen “sesetengah wanita berhak dirogol” dan komen lain yang menyinggung perasaan di forum atas talian, digantung kerja di tengah-tengah siasatan Lembaga Perubatan Australia (MBA).

Christopher Lee Kwan Chen, 31, didapati bersalah pada April atas salah laku profesional oleh Tribunal Pengamal Kesihatan Tasmania kerana membuat kiriman ucapan perkauman dan berbaur seks dalam forum HardwareZone, yang dimiliki Singapore Press Holdings.

Dia digantung selama 6 minggu sehingga Selasa depan.

Yahoo News Singapura melaporkan MBA menyambung penggantungannya. Lembaga itu tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan pendaftaran pengamal perubatan – keputusan itu hanya boleh dibuat oleh tribunal bebas.

“Lembaga mengambil tindakan ini demi kepentingan awam untuk mengekalkan keyakinan dalam profesion perubatan,” kata MBA yang dipetik portal itu dalam satu kenyataan semalam.

“Lembaga tidak akan membuat sebarang komen lanjut mengenai Dr Lee buat masa ini.”

Lee, lulusan Universiti Melbourne, bekerja di Tasmania selama 2 tahun dari Februari 2016.

Dia bekerja sebagai pendaftar di Box Hill di Victoria awal tahun ini selepas dia didapati bersalah oleh tribunal Tasmania.

Menurut laporan, komen Lee termasuk berkata: “Sesetengah wanita berhak dirogol dan perempuan jalang itu memenuhi ciri-ciri untuk dirogol”.

Lee juga didakwa memuat naik gambar pasport dan ijazah perubatannya, dan apabila dikritik berhubung komennya, dia menjawab: “Pihak berkuasa Malaysia dan Australia tidak boleh sentuh saya berhubung perkara yang saya katakan di forum Singapura.”

Lee juga memuat naik gambar isterinya dan menceritakan kehidupan seks mereka dan tribunal diberitahu dia berkata dalam salah satu kirimannya: “Jika perkahwinan saya musnah, ia tidak akan berakhir dengan perceraian. Ia akan berakhir dengan pembunuhan.”

Dalam keputusan pada 17 April, Pengerusi tribunal Robert Webster menyifatkan kiriman Lee sebagai “tidak boleh diterima secara sosial” dan “tidak menghormati wanita”.

“Beberapa kiriman dalam talian mungkin wajar ditafsirkan sebagai diskriminasi perkauman dan bertentangan dengan norma sosial yang boleh diterima di Australia,” katanya.

Lee juga dalam kes lain pada Julai tahun lepas menerima amaran selepas dia mengakses rekod perubatan pesakit sebanyak 21 kali “tanpa kebenaran atau keperluan klinikal”, kata Yahoo News Singapura.

Menurut akhbar British Guardian bulan lalu, MBA melakukan siasatan baru terhadap Lee selepas Guardian Australia melaporkan dia juga berkongsi rekod perubatan pesakit, termasuk x-ray dada pesakit kanak-kanak berusia 4 tahun yang menderita radang paru-paru.

Petisyen atas talian ditubuhkan pada April yang menggesa agar lesen perubatan Lee dibatalkan, dengan memperoleh lebih 5,800 tandatangan, tambah portal itu.