Lelaki guna siren polis elak kesesakan lalu lintas ditahan

Sebuah proton Gen 2 menggunakan siren polis untuk memudahkan perjalanannya meredah kesesakan lalu lintas di Parit Raja, Batu Pahat.

BATU PAHAT: Seorang lelaki yang menggunakan siren polis untuk memudahkan perjalanannya meredah kesesakan lalu lintas di Parit Raja, pada petang Khamis (6 Jun) sudah ditahan pihak berkuatkuasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Azhan Abdul Halim berkata penahanan lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan kira-kira 10.30 pagi semalam, susulan aduan awam yang dilakukan pada 2.30 pagi hari sama.

Katanya, rakaman video yang menunjukkan kenderaan suspek menggunakan siren itu turut menjadi tular dalam media sosial sejak kejadian.

“Dalam penahanan itu, polis merampas sebuah kereta Proton Gen 2 yang digunakan suspek. Selain itu, 1 set siren yang dipasang dalam kereta berkenaan turut ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 kerana kesalahan menghalang lalu lintas serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Jika sabit dengan kesalahan halangan lalu lintas itu, suspek boleh didenda sebanyak RM200 atau dipenjara selama 3 bulan atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan menyamar penjawat awam, boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah terutama di musim perayaan yang sering berlaku kepadatan serta kesesakan lalu lintas.