Menteri: Kabinet akan batal segera model PDP Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak

Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

KUCHING: Keputusan pembatalan model rakan pelaksana projek (PDP) bagi Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak akan dimaklumkan tidak lama lagi, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Setakat ini, hanya model PDP bagi lebuh raya itu di bahagian Sabah telah dibatalkan dan digantikan dengan model kontraktor siap guna, katanya.

“Kita tunggu dulu keputusan Kabinet,” kata Baru, yang juga merupakan pengerusi PKR Sarawak, kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan (PH) negeri, di sini, hari ini.

Di bawah pentadbiran kerajaan lepas, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd dilantik sebagai PDP untuk menguruskan projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak yang menelan kos RM16.49 bilion.

Fasa pertama projek di Sarawak dari Telok Melano ke Merapok, dengan jarak sejauh 1,060 kilometer dijangka siap sepenuhnya menjelang 2021.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada April, MMC Corp Bhd mengesahkan Borneo Highway PDP Sdn Bhd, usaha sama yang mana syarikat itu adalah rakan kongsi, telah dimaklumkan penamatan kontraknya sebagai PDP bagi Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.