Pakar MA63: Sabah hilang hasil produk petroleum RM5 bilion setahun

Kerajaan Sabah dan Sarawak digesa menyemak semula Jadual ke-10, Bahagian V, Item 1 Perlembagaan Persekutuan dan menuntut semula hak mereka ke atas produk petroleum.

KOTA KINABALU: Penasihat Sabah mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mendakwa negeri itu berkemungkinan hilang sehingga RM5 bilion setahun kerana pelanggaran perjanjian tersebut.

Bercakap kepada FMT, Zainnal Ajamain berkata, penelitian ke atas Perlembagaan Persekutuan dan MA63 menununjukkan bahawa Sabah dan Sarawak berhak mendapat hasil daripada cukai import produk petroleum.

Katanya, hasil itu boleh dikutip melalui levi cukai jualan, terutamanya ke atas produk petroleum.

Beliau berkata, berikutan pindaan ke atas Akta Cukai Jualan 1972 pada 1999, hak negeri untuk mengutip cukai itu digantikan dengan bayaran langsung sebanyak RM120 juta dalam bentuk geran tetap setiap tahun.

Bagaimanapun jumlah itu tidak memadai dan tidak adil,” kata Zainnal.

“Geran gantian tidak menggantikan hasil yang hilang berikutan pindaan tersebut secukupnya. Pindaan yang bertujuan memenuhi tuntutan Kawasan Perdagangan Bebas Asean jelas mengambil hak perlembagaan kita.”

Pada masa itu kerajaan persekutuan mengantikan duti import dan eksais dengan cukai khusus ke atas produk petroleum.

Sabah dan Sarawak diberi jaminan bahawa mereka tidak akan kehilangan hasil daripada sumber pendapatan itu kerana akan diberikan geran tetap berdasarkan pendapatan serta duti eksais yang dikira pada tahun tersebut.

Bagaimanapun kata Zainnal, ia mengelirukan kerana jumlah kenderaan di Sabah dan Sarawak telah bertambah banyak sejak itu, bersekali dengan penggunaan minyak.

Katanya, dari 2000 hingga 2014, kerajaan persekutuan membayar jumlah tetap sebanyak RM120 juta kepada Sabah dan Sarawak walaupun nilai minyak yang digunakan di 2 negeri itu meningkat kepada berbilion ringgit.

“Ini bermakna geran tetap yang dibayar kepada negeri ini setiap tahun mengandaikan bahawa produk petroleum yang digunakan di Sabah dan Sarawak tidak meningkat, hatta selepas banyak tahun,” katanya, dengan menambah bahawa ia tidak logik.

Perbandingan mudah antara harga minyak di Sabah dan Brunei menunjukkan pengguna di Sabah membayar 40% lebih tinggi, katanya.

Beliau berkata, oleh sebab Brunei tidak mengenakan duti import atau eksais atau apa-apa juga bentuk cukai ke atas produk petroleum yang diimport, maka boleh disimpulkan bahawa amaun tambahan yang dibayar oleh pengguna di Sabah bagi produk petroleum adalah nilai cukai yang dikenakan oleh kerajaan ke atas produk berkenaan di negara ini.

Katanya, daripada angka ini, adalah mudah untuk mengira jumlah kehilangan hasil yang dialami Sabah dan Sarawak setiap tahun kerana kuasa mereka untuk mengutip cukai telah dihadkan oleh kerajaan persekutuan.

“Katakan ada 2 juta kenderaan di Sabah yang menggunakan purata 70 liter minyak pada kos kira-kira RM2 setiap liter. Ini bermakna penduduk Sabah menggunakan minyak bernilai RM280 juta seminggu atau RM14.56 bilion setahun.

“Ini juga bermakna Sabah kehilangan duti import dan eksais sebanyak RM5.82 bilion setahun. Sebagai pampasan bagi kehilangan ini, kerajaan persekutuan membayar hanya RM120 juta setahun. Bakinya masuk ke kantung persekutuan,” kata beliau.

Zainnal menggesa kerajaan Sabah dan Sarawak supaya menyemak semula Jadual ke-10, Bahagian V, Item 1 Perlembagaan Persekutuan dan menuntut semula hak mereka ke atas produk petroleum.

Katanya, penyelesaian kerajaan persekutuan berhubung kehilangan pendapatan Sabah dan Sarawak merupakan satu “helah” dan jelas bertentangan dengan MA63, iaitu apabila duti import dan eksais dihapuskan pada 1999.

Zainnal berkata, kerajaan persekutuan boleh menyemak semula nilai geran tersebut dan mengambil kira pertambahan jumlah kenderaan di 2 negeri itu bagi membuat penyesuaian yang perlu.

“Sabah kehilangan hasil kira-kira RM5 bilion setahun. Ini boleh diimbangkan dengan mengurangkan harga minyak di Sabah sebanyak 40 sen setiap ringgit.

“Bayangkan implikasi pengurangan itu ke atas ekonomi rakyat dan rangkaian perniagaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan tersebut berada di tangan perdana menteri.

“Sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai, Dr Mahathir Mohamad harus bersedia mengembalikan hak Sabah dan Sarawak, bukannya terus membiarkan pendapatan ini diambil kerajaan persekutuan,” katanya.