PBB: Kanak-kanak lelaki paling ramai kahwin bawah umur

Menurut PBB, Republik Afrika Tengah memiliki kadar perkahwinan kanak-kanak lelaki paling tinggi diikuti Nicaragua dan Madagascar. (Gambar Facebook)

WASHINGTON: Kira-kira 115 juta kanak-kanak lelaki di seluruh dunia berkahwin semasa mereka masih di bawah umur, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kajian terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Kajian itu menyebut seorang daripada 5 kanak-kanak lelaki, atau 23 juta orang, berkahwin sebelum berusia 15 tahun.

Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) mendedahkan penemuan kajian mendalam berhubung perkahwinan kanak-kanak lelaki menggunakan data dari 82 negara meliputi kawasan sub-Sahara Afrika, Caribbean, Asia Selatan dan Asia Timur.

“Perkahwinan awal membawa kepada menjadi bapa pada usia masih muda, dan mendatangkan tekanan untuk menyara keluarga, kehilangan peluang untuk melanjutkan pelajaran dan mencantas peluang pekerjaan,” menurut pengarah eksekutif Unicef Henrietta Fore dalam satu kenyataan.

Kajian itu mendapati Republik Afrika Tengah memiliki kadar perkahwinan kanak-kanak lelaki paling tinggi diikuti Nicaragua dan Madagascar.

Angka terkini daripada kajian itu menjadikan jumlah mereka yang berkahwin semasa masih kanak-kanak (lelaki mahupun perempuan) kepada 765 juta orang.

“Kanak-kanak paling berisiko dalam perkahwinan bawah umur ini adalah mereka yang berasal daripada keluarga paling miskin, tinggal di kawasan luar bandar dan memiliki tahap pendidikan rendah atau langsung tidak berpelajaran,” menurut kajian itu.

PBB menganggap perkahwinan sebelum usia 18 tahun satu pelanggaran asas terhadap hak asasi manusia.