Tak mustahil Orang Asli mati akibat pencemaran kimia, kata timbalan menteri

Tunku Zalpuri Shah Raja Puji berkata pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan mengadakan lawatan kerja bersama NGO ke Kampung Kuala Koh, Gua Musang, esok. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, akan mengadakan lawatan kerja bersama badan bukan kerajaan (NGO) ke Kampung Kuala Koh, Gua Musang selepas penduduk Orang Asli di situ didakwa meninggal dunia akibat penyakit misteri.

Timbalan Menterinya Tunku Zalpuri Shah Raja Puji ketika dihubungi FMT berkata pihaknya dan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil akan melawat kawasan itu esok.

Tunku Zulpuri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kematiaan itu berpunca daripada pencemaran kimia di sungai berdekatan Kampung Koh berdasarkan pemerhatian beliau sewaktu lawatan kerja ke kawasan itu pada 22 Disember tahun lalu.

Katanya, terdapat aktiviti pembalakan dan perlombongan bijih timah yang beroperasi berdekatan kampung tersebut yang menurutnya aktiviti itu dijalankan tanpa mengikut peraturan dan prosedur yang sepatutnya.

“Kerana terdapat beberapa anak sungai dan aliran air yang tersekat sebab tanah dan (kayu) balak.

“Jadi, ia tak mengikut aliran air. Aliran air tak boleh disekat, ia mesti ikut aliran,” katanya.

Tunku Zulpuri berkata, beliau juga mengesan sisa perlombongan bijih besi yang beroperasi di situ tidak diuruskan dengan baik dan sistematik.

“Sisa-sisa itu mereka tolak dekat situ saja, dekat dengan sungai.

“Jangan kata saya tuduh ya, kemungkinan besar bahan kimia dari perlombongan itu masuk dalam sungai dan menjadikannya tak bersih,” katanya.

FMT dimaklumkan, lawatan kerja yang dijangka esok melibatkan beberapa pegawai kementerian, aktivis alam sekitar dan petugas media.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, seramai 13 penduduk orang asli suku kaum Bateq di Gua Musang, Kelantan termasuk seorang kanak-kanak berusia 1 tahun didakwa meninggal dunia akibat penyakit misteri tersebut.

Rata-rata penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh kini hidup dalam kebimbangan apabila seorang demi seorang saudara mereka meninggal dunia dan mereka seolah-olah “menunggu masa kematian”.

Polis bagaimanapun hari ini menafikan laporan itu mengatakan hanya 2 penduduk Orang Asli yang meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Taufik Maidin berkata kedua-dua mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun yang meninggal dunia pada 29 Mei lepas dan gadis berusia 21 tahun itu yang meninggal dunia pukul 4 petang semalam di kampung tersebut adalah kerana jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan batuk teruk.

Sementara itu, Shariffa Sabrina ketika dihubungi FMT meluahkan rasa kesal terhadap kerajaan negeri kerana membiarkan tragedi itu berlaku di negeri yang dianggap sebagai negeri pimpinan Islamik.

Katanya, Kelantan sebagai negeri yang dipimpin oleh parti Islam tidak boleh membiarkan tragedi itu berlaku di negeri berkenaan.

“Memalukan. Dan mereka boleh kata, itulah cara Orang Asli mati. Sungguh bodoh,” katanya kepada FMT.