5 strategi capai kebahagiaan maksimum

Dalam kehidupan seseorang, setiap daripada mereka mengejar untuk mencapai kebahagiaan.

Inilah hakikatnya yang tidak dinafikan sesiapa.

Kebanyakan mengejar kebahagiaan dengan 3 cara iaitu harta, kedudukan dan populariti.

Namun, terdapat pelbagai kisah masyarakat yang musnah dan malang dek kerana mengejar 3 benda itu yang dianggap berjaya mencapai kebahagiaan.

Ini menunjukkan bahawa tidak semua manusia mengetahui bagaimana untuk meraih kebahagiaan yang sebenarnya untuk diri mereka sendiri.

Satu buku bertajuk “The Kindness Miracle” oleh Jamilah Samian mencadangkan 5 strategi utama untuk mengecapi kebahagiaaan dan kualiti hidup terbaik buat seseorang.

1) Memilih jadi baik walaupun sukar

Kita tidak pernah tahu bagaimana seseorang itu melalui hari-harinya.

Barangkali dia sedih, sayu dan hiba.

Siapa juga tidak mahu rasa diri mereka tersisih oleh keluarga, rakan-rakan dan masyarakat?

Oleh itu, mulakan langkah pertama dengan selalu memberikan pujian dan kata semangat kepada orang lain.

Ianya mungkin sukar kerana anda mempunyai maruah dan tahap ego yang berbeza dengan orang lain.

Tetapi, lakukannya tanpa memikirkan ego anda

Jika anda melakukan sesuatu kesilapan, terima dengan hati terbuka.

Dan, jika seseorang memuji anda, balas semula dengan kata-kata pujian.

Anda akan merasakan satu perubahan yang segar dalam diri sendiri.

2) Gunakan akal dan kebijaksanaan

Perjalanan hidup manusia memerlukan kita mengenali orang yang baru.

Mereka mungkin rakan sekerja, rakan serumah, mahupun ahli keluarga yang baru.

Sudah pastinya kehadiran orang yang baru dengan latar belakang kehidupan, ekonomi, agama dan pendidikan yang berbeza mejadikan kita tidak terus menjalin pertalian atau hubungan yang sempurna.

Oleh itu, pastikan anda sentiasa menggunakan kebijaksanaan dalam berkomunikasi untuk sama-sama mendalami perangai dan watak masing-masing.

Jangan sesekali menggunakan perkataan yang kasar, sindiran dan berbaur “toksik” kepada orang di sekeliling anda.

Lebihkan kepada perkataan yang meraikan mereka ke dalam hidup anda.

Sebagai contoh, jangan menggunakan perkataan yang mengarahkan seseorang, sebaliknya menggunakan nada pujukan dan meminta tolong.

“Bolehkah anda membantu saya mengangkat barang ini?”

“Adakah anada bekelapangan untuk membantu saya?”

Elakkan untuk menggunakan kata-kata arahan yang akan membuatkan orang lain berasa tidak selesa dan tertekan. Contohnya;

“Angkat baju itu sekejap, saya banyak kerja ni.”

“Kamu temankan saya ke kedai, kamu cuti dan tidak berbuat apa-apa dirumah.”

Pada saat ini, elemen toleransi dan tutur kata yang baik akan membuatkan orang lain menerima diri anda ke dalam hidup mereka.

3) Selalu ‘Top Up’ Kasih Sayang

Cinta dan kasih sayang itu tidak cukup dengan hanya ungkapan kata-kata.

Anda perlu tambah rasa kasih dan cinta dengan tindakan yang mampu membuktikan anda benar-benar menghargai diri, keluarga dan orang di sekeliling anda.

Biasakan diri anda dengan merancang aktiviti luar dengan keluarga dan insan tersayang.

Menonton wayang dan makan malam adalah langkah terbaik untuk mengeratkan hubungan.

Bukan itu sahaja, membeli hadiah dan mengucapkan selamat juga cara terbaik untuk menunjukkan kebaikan diri kepada orang lain.

Jangan biasakan diri anda dengan mengulangi perkataan “I Love You” atau “Saya Sayang Awak” tanpa aksi dan tindakan yang boleh membuatkan orang lain merasai kehadiran kasih sayang itu.

4) Bangkit Selepas Kelukaan

Sudah pastinya, waktu akan bawa kita ke sisi hitam dan putih kehidupan.

Masa itu, kita akan terus mempersoal diri sama ada mahu terus berjalan atau berhenti mengenang kedukaan.

Tapi, sampai bila? Persoalan itu hanya akan berjawab jika diri mampu untuk bangkit mencari sinar baru.

Anda perlu perlu berani untuk redahi konflik dalam hidup.

Sesukar mana pun konflik itu, ianya bergantung kepada kebangkitan anda.

Anda harus “reset” minda dan tenangkan fikiran.

Masa ke masa, anda akan menemui cara yang unik dan tersendiri untuk menangani konflik diri.

5) Kongsi Matlamat Hidup

Jika anda merasakan matlamat dan impian hidup anda mudah dicapai dengan seorang diri, anda silap.

Bayangkan anda sebagai sekuntum bunga di taman yang ingin mekar dengan cantik.

Tetapi anda tidak mahu berkongsi cahaya, air dan udara dengan bunga yang lain.

Sudah pasti anda akan menjadi bunga yang layu dan tiada seri.

Kehidupan juga begitu, anda perlu berkngsi matlamat dan tujuan supaya ahli keluarga dan rakan-rakan dapat membantu dan memberikan sokongan ke arah merealisasikan impian tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]