
PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam, G25 hari ini berkata pelantikan Latheefa Koya untuk mengetuai agensi anti-rasuah itu disebabkan “keadaan tidak terkawal” kerana rasuah mencapai tahap kritikal dan perdana menteri terpaksa mengisi jawatan itu dengan segera.
Kumpulan itu berkata pelantikan itu mengikut undang-undang, walaupun ia belum mendapat kelulusan Parlimen (janji pilihan raya yang dibuat Pakatan Harapan).
“Walaupun kami berharap munculnya konvensyen perlembagaan bagi penelitian Parlimen dalam proses pelantikan, yang menyedihkan, tidak berlaku, ia tidak dapat dinafikan pelantikan itu benar-benar selaras dengan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun pelantikan Latheefa tidak konvensional, perubahan formal dalam undang-undang harus dibuat untuk “keketatan penelitian Parlimen” yang akan digunakan bagi pelantikan akan datang.
“Bagaimanapun, pada masa itu, kelonggaran dalam mematuhi konvensyen perlembagaan tidak boleh dinafikan,” kata G25 dalam satu kenyataan.
Mandiri, manipulatif dan kritikan bermotif politik
Kumpulan itu berkata kritikan terhadap pelantikan Latheefa adalah “tidak produktif”. Kritikan itu “bersifat mandiri, manipulatif dan bermotif politik” dan dibuat oleh mereka yang “mengeksploitasi naratif berterusan mengenai kegagalan PH menunaikan janji demi kepentingan diri dan keuntungan politik”.
Latheefa dinamakan awal minggu ini sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menggantikan Mohd Shukri Abdull, yang memilih untuk menamatkan kontraknya setahun lebih awal.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, kemudian berkata beliau tidak berunding dengan rakan Kabinetnya apabila beliau mencadangkan pelantikan Latheefa kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi berkata beliau bertindak selaras dengan peruntukan Akta SPRM.
Pengkritik pelantikan itu mempersoalkan mengapa jawatankuasa pilihan Parlimen tidak dibenarkan meneliti pelantikan itu, sejajar dengan agenda Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, G25 berkata rasuah di Malaysia mencapai tahap kritikal, merentasi semua peringkat masyarakat, dan jawatan itu perlu diisi segera.
Rakyat Malaysia perlu melihat gambaran yang lebih besar, di mana rasuah, kronisme dan nepotisme mesti ditangani oleh profesional yang mengetuai suruhanjaya itu.
“Ia mesti diketuai seorang individu yang jujur dan berpengalaman, yang tidak takut, tetapi adil, menguatkuasakan kedaulatan undang-undang, mengatasi segala yang lain,” katanya, sambil menambah Latheefa mempunyai ciri-ciri tersebut.
Kumpulan itu menggesa orang ramai menilai Latheefa melalui prestasinya.