Jabatan Kesihatan Kelantan nafi seorang lagi Orang Asli mati

Pesakit yang didakwa meninggal dunia masih dalam rawatan di Wad Intensif Kanak-Kanak di HRPZII dengan diagnosis sebagai bronchopneumonia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Kelantan menafikan laporan mengatakan seorang lagi penduduk Orang Asli Kuala Koh meninggal dunia pagi tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata pesakit tersebut berumur 3 tahun dan masih dalam rawatan di Wad Intensif Kanak-Kanak di HRPZII dengan diagnosis sebagai bronchopneumonia.

“Pihak Jabatan Kesihatan Kelantan ingin memaklumkan kenyataan tersebut adalah tidak benar.

“Pesakit juga mempunyai masalah kurang zat makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan seorang lagi penduduk Orang Asli Kampung Kuala Koh yang mempunyai tanda jangkitan kuman di saluran pernafasan meninggal dunia pagi ini, menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat penyakit itu 3 orang setakat ini.

Mangsa yang menerima rawatan awal di Hospital Kuala Krai (HKK) sejak beberapa hari lalu dipindahkan ke HRPZII apabila keadaannya semakin kritikal sebelum meninggal dunia.

Mangsa dipercayai menggunakan air tadahan bukit dan sungai yang dipercayai tercemar.

Bagaimanapun pihak hospital belum menyalurkan maklumat lengkap berhubung perkara itu termasuk jantina dan umur mangsa.

Dalam pada itu, Zaini berkata Jabatan Kesihatan Kelantan memaklumkan pada 8 Jun 2019, pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah melakukan carian kes secara aktif di Kuala Koh dan membawa keluar 54 kes lagi yang mempunyai gejala demam dan batuk.

Katanya, kes itu dibawa Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Seramai 25 kes dirawat sebagai pesakit luar, 20 orang dirujuk ke Hospital Gua Musang, 6 orang dirujuk ke Hospital Kuala Krai dan 3 kes ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (Rika) dan 1 kes yang dirujuk ke Hospital Kuala Krai dirujuk ke HRPZII.

“Jumlah penduduk yang disaring sehingga 8 Jun 2019, adalah 155 orang dengan 83 mempunyai gejala.

“Seramai 37 kes dirawat sebagai pesakit luar, 32 kes di Hospital Gua Musang, 10 kes di Hospital Kuala Krai, 1 kes di HRPZII dan 3 kes di Rika,” katanya.

Zaini berkata berdasarkan gejala klinikal dan cara jangkitan, kes ini disyaki mendapat jangkitan saluran pernafasan (pneumonia).

Katanya, pada masa ini aktiviti pencegahan dan kawalan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang dengan mengadakan pendidikan Kesihatan seperti ceramah dan edaran risalah berkaitan penyakit berjangkit dan kebersihan diri serta persekitaran.

“Penekanan juga diberikan berkaitan kepentingan pengasingan penduduk yang mempunyai gejala.

“Carian kes secara aktif masih diteruskan di perkampungan Orang Asli,” katanya.

Zaini berkata Pihak Jabatan Kesihatan juga menasihatkan supaya pergerakan masuk individu ke perkampungan ini dihadkan bagi mengelakkan perebakan penyakit.