Jabatan Kesihatan Kelantan tolak jangkitan TB punca ramai Orang Asli sakit

Petempatan Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Kelantan hari ini menolak batuk kering (TB) sebagai punca kematian 2 Orang Asli pada masa ini, sewaktu lebih ramai penduduk dibawa ke kilinik kesihatan untuk menerima rawatan kerana batuk dan demam.

Dalam satu kenyataan, pengarah kesihatan negeri Dr Zaini Hussin berkata, 24 Orang Asli dibawa ke klinik kesihatan Chiku 3 semalam.

Terdahulu, dilaporkan 29 Orang Asli, termasuk 3 bayi, sama ada diberi rawatan pesakit luar atau dirujukkan ke hospital Gua Musang dan Kuala Krai selepas jatuh sakit.

“Pemeriksaan kritikal mendapati mereka mempunyai tanda jangkitan di saluran penafasan dan pihak hospital Gua Musang dan Kuala Krai sedang melakukan beberapa ujian kritikal lanjutan bagi menentukan penyebab jangkitan tersebut.

“Setakat ini keputusan ujian terhadap TB telah diperolehi dan adalah negatif. Pihak kami masih menunggu keputusan ujian yang lain,” kata Zaini.

Beliau berkata, pesakit berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih.

Malam tadi, polis berkata, seorang lelaki berusia 30-an dan seorang wanita berumur 21 tahun meninggal dunia pada Jumaat kerana jangkitan virus pada paru-paru, bukannya disebabkan “penyakit misteri”.

Ketua Polis Daerah Gua Musang juga menolak laporan akhbar yang mendakwa 13 penduduk meninggal dunia.

Akhbar harian berbahasa Melayu melaporkan anggota suku Bateq komuniti Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang hidup dalam kebimbangan selepas mendakwa 13 penduduk menemui ajal, termasuk seorang bayi berusia 1 tahun, akibat sakit pada bulan Ramadan lepas.