Jom bercuti seperti di luar negara, hanya di Malaysia!

Memilih konsep “English Cottage”, pasangan suami isteri ini mengusahakan homestay dengan kelainan tersendiri dan berbeza dengan homestay sedia ada di Cameron Highlands.

Terletak di Kampung Taman Sedia, homestay ini pastinya menarik perhatian sesiapa yang datang berkunjung ke tempat ini.

Apa tidaknya, keluar sahaja dari homestay, anda akan melihat bunga segar di kiri dan kanan anda berwarna merah dan kuning, dengan pemandangan hijau ditambah pula dengan kehadiran arnab comel yang berlari berkeliaran di taman tersebut.

Pastinya ia memberi suatu pengalaman berbeza untuk anda.

Lebih menarik lagi, anda juga boleh menikmati makanan terbaik iaitu pizza yang dibakar menggunakan arang dapur, dan mempunyai pelbagai perasa mengikut citarasa anda.

Homestay Tiny Boutique Habitat ini dimiliki pasangan suami isteri, Abdul Rahman Hussain, 66, dan Maryam Zai Adabi, 62.

Mula beroperasi sejak 2017, homestay ini memilih konsep “English Cottage” yang diinspirasikan daripada kediaman di luar negara.

Abdul Rahman berkata, dari awal lagi mereka mahu mengetengahkan homestay komuniti dan sebab itu memililh nama Tiny Boutique Habitat.

“Tiny itu kerana tanah ini kecil saja, manakala Habitat bermakna ada komuniti. Secara keseluruhannya, ia membawa maksud ada habitat mini dalam homestay ini,” katanya.

Berkenaan konsep English cottage, ia diilhamkan hasil idea sepenuhnya idea si isteri.

Menurutnya, konsep tersebut bukan saja untuk kelainan, malah dalam masa sama mereka mahu memberi peluang kepada pelanggan merasai suasana seperti di negara orang putih.

Ia diterjemahkan melalui reka bentuk bilik yang dibina satu setengah tingkat dan memiliki loteng, serta dekorasi dalamannya yang mendapat sentuhan ala Inggeris.

“Ada pelanggan yang kagum kerana rekaan bilik sama seperti ketika mereka tinggal di luar negara dan mengimbau kenangan ketika merantau.

“Bagi pelanggan yang tidak pernah ke luar negara pula, mereka gembira kerana dapat merasai pengalaman itu di sini termasuk merasa duduk di rumah yang ada loteng,” katanya.

Beliau turut berkongsi, ada tetamu luar negara mahu rasai pengalaman homestay Melayu di sini.

“Tapi kami beritahu terus terang homestay kami bukan sebegitu. Tempat ini lebih kepada pengunjung tempatan yang nak rasa pengalaman di luar negara,” katanya.

Dengan taman bunga indah, bermanja dengan arnab, pelanggan juga boleh menikmati pemandangan indah landskap taman di homestay ini berkonsep “English garden”.

Bukan saja terdapat tanaman herba seperti lavender dan calendula, malah bunga-bungaan seperti geranium, hydrangea dan mawar tumbuh mekar di sekeliling penginapan.

Pokok buah-buahan seperti mulberry, markisa dan buah tin serta sayur-sayuran turut ditanam di kebun mini.

Malah, pasangan ini juga membela arnab-arnab baka luar negara seperti holland lop, netherlands dwarf, rex dan teddy bear serta ayam dan angsa sebagai tarikan kepada pengunjung.

“Kami mahu homestay ini bukan sekadar tempat menginap, tetapi pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti. Misalnya, kanak-kanak boleh bermain dengan arnab-arnab yang akan dilepaskan pada masa tertentu.

“Mereka juga boleh mengadakan BBQ di kawasan taman. Malah, ada tetamu yang bentang tikar duduk ramai-ramai bersama keluarga untuk tengok matahari terbit,” katanya.

Abdul Rahman berkata, maklum balas daripada pelanggan amat menggalakkan kerana boleh merasai pelbagai pengalaman dalam satu tempat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]