Laporan: India cuba dapatkan waran tangkap Zakir Naik

Pendakwah kontroversi Zakir Naik menjadi buruan pihak berkuasa India. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Satu keputusan mahkamah di India yang dijadualkan pada 19 Jun, dijangka menetapkan langkah seterusnya bagi pihak berkuasa India dalam usaha mengekstradisi pendakwah kontroversi Zakir Naik dari Malaysia.

Keputusan itu, di mahkamah khas di Mumbai, akan menjadi sama ada waran tangkap kesalahan tidak boleh dijamin boleh dikeluarkan terhadap Naik atas tuduhan pengubahan wang haram.

Direktorat Penguatkuasaan India (ED), agensi utamanya terhadap pengubahan wang haram, memfailkan tuduhan terhadap Naik dan yang lain di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. ED dijangka akan mendapatkan waran daripada mahkamah, menurut laman web Times Now.

Jika waran tangkap dikeluarkan, polis India boleh membuat permintaan kepada Interpol untuk mendapatkan notis merah terhadap Naik dan ekstradisinya dari Malaysia.

Notis merah membolehkan Interpol mendapatkan bantuan semua anggota pasukan polis untuk menahan suspek. Malaysia adalah ahli Interpol dan juga menandatangani perjanjian ekstradisi dengan India pada 2010.

Laporan Times Now berkata, Pengarah ED juga boleh memulakan prosiding terhadap Naik di bawah Akta Pesalah Ekonomi Fugitive, berdasarkan waran itu.

Tuduhan itu melibatkan lebih 1.93 bilion rupee (RM115 juta) yang berlaku di India dan di luar negara.

Naik yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia, juga disiasat Agensi Penyiasatan Kebangsaan kerana dikatakan menghasut permusuhan dan kebencian antara komuniti agama yang berbeza melalui ucapan provokatif.