Najib ‘menanti-nanti’ laporan PAC berhubung dana GST hilang

Bekas perdana menteri Najib Razak.

PETALING JAYA: Najib Razak berkata beliau “menanti-nanti” laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung pembayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang hilang sebanyak RM19.4 bilion.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata ini kerana beliau mahu melihat sama ada laporan PAC sepadan dengan pemerhatiannya berhubung isu tersebut serta menjelaskan beberapa “soalan” yang beliau ada.

Tahun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu Dewan Rakyat bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion disalahgunakan oleh pentadbiran Najib, walaupun bekas perdana menteri itu menafikannya.

Najib berkata wang berkenaan dimasukkan dalam akaun hasil disatukan, yang dibayar kepada dana amanah bagi tujuan pembayaran balik secara berkala.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata laporan PAC akan dibentangkan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat akan datang dan PAC sudah menyelesaikan prosiding berhubung pemulangan GST.

“Saya sangat menanti-nantikan laporan PAC kerana saya mempunyai beberapa soalan. Contohnya, angka Bank Negara menunjukkan pembayaran balik GST tidak dibayar pada Jun 2018.

“Pembayaran balik bagi Mei 2018, yang merupakan bulan terakhir GST, sepatutnya dibayar pada Jun, tetapi tidak dibayar.”

Beliau berkata angka Perbendaharaan bagi Jun 2018 menunjukkan jumlah perbelanjaan kerajaan untuk bulan itu menurun lebih separuh berbanding bulan sebelumnya.

Ini, katanya, menunjukkan ia tidak membayar balik pemulangan itu untuk Mei 2018.

Katanya, Lim berkata terdapat tunggakan pembayaran balik cukai sebanyak RM19.2 bilion pada akhir Mei 2018.

“Angka ini juga termasuk bayaran balik cukai yang dikeluarkan pada Mei 2018.

“Jika anda melihat Laporan Ketua Audit Negara, sejumlah besar bayaran balik pada April tidak dibayar pada Mei. Apa yang berlaku kepada bayaran balik ini? ”

Antara soalan lain, Najib berkata beliau ada ketika pengumuman kementerian kewangan pada Mei bahawa pembayaran balik GST sebanyak RM9.5 bilion dibayar oleh Jabatan Kastam kepada 76,002 pendaftar GST antara 1 Jan dan 30 April 2019.

“Tetapi dokumen Perbendaharaan tidak mencerminkan ini,” dakwa Najib, sambil menambah dokumen ini boleh didapati secara atas talian.

Katanya, beliau berharap persoalannya mengenai isu itu boleh dijawab oleh PAC.