Jawatankuasa Parlimen tak patut campur tangan pelantikan hakim, kata peguam

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang ditempatkan di Istana Kehakiman di Putrajaya, berkuat kuasa selepas kelulusan Akta JAC 2009.

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam tiada hak dalam pemilihan hakim.

Ia susulan kenyataan Pengerusi PSC, William Leong mengenai pelantikan ketua polis negara dan ketua hakim negara baru-baru ini tidak dikemukakan kepada jawatankuasa itu.

Isu itu timbul disebabkan kontroversi pelantikan Latheefa Koya menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dikritik memintas PSC.

A Srimurugan berkata, pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM, ketua polis negara dan peguam negara boleh dirujuk kepada PSC kerana jawatan itu dipegang penjawat awam.

“Tetapi, Perkara 132 (3) Perlembagaan Persekutuan tidak termasuk jawatan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebagai penjawat awam,” katanya kepada FMT.

Oleh itu, katanya, pemilihan hakim diteliti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang berkuat kuasa selepas kelulusan Akta JAC 2009.

Srimurugan berkata, fungsi JAC dilaksanakan 4 pentadbir tinggi dalam badan kehakiman, seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan dan 4 individu terkemuka yang dilantik perdana menteri.

“JAC mengesyorkan hakim dan siapa yang akan memegang 4 jawatan pentadbiran dalam badan kehakiman berdasarkan kriteria terpilih.”

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, beliau yang memutuskan pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM tanpa mendapatkan pandangan Kabinet kerana beliau mahu kebebasan untuk memilih calon terbaik.

Perdana menteri boleh berbuat demikian di bawah Akta SPRM 2009. Tetapi, Pakatan Harapan melalui manifesto pilihan raya umum tahun lalu berjanji pelantikan pesuruhjaya SPRM akan diluluskan Parlimen.

Srimurugan berkata, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong akan melantik hakim atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

Katanya, perdana menteri memainkan peranan dalam pelantikan hakim, termasuk kenaikan pangkat 4 pegawai kehakiman ke jawatan pentadbiran.

“Dari segi undang-undang, perdana menteri boleh mengabaikan cadangan JAC atau beliau boleh meminta nama tambahan sebelum menyerahkannya kepada Majlis Raja-raja.”

Seorang lagi peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar mencadangkan JAC dinaik taraf menjadi sebuah badan perlembagaan dalam pelantikan dan kenaikan pangkat jakim ke mahkamah atasan.

“Parlimen tidak patut campur tangan dalam pelantikan hakim kerana itu akan melanggar doktrin pemisahan kuasa.”

Doktrin pemisahan kuasa juga dikenali sebagai sistem semak dan imbang, di mana 3 cabang – eksekutif, perundangan dan kehakiman – mengawasi satu sama lain dan menangani sebarang ketidakseimbangan kuasa.

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) 5 anggota turut mencadangkan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim tidak patut melalui badan perundangan seperti diamalkan di Amerika Syarikat.

Laporan itu antara lain mengandungi cadangan untuk pembaharuan Parlimen, pilihan raya, badan kehakiman, penguatkuasaan dan perkhidmatan undang-undang, agensi anti-rasuah, pasukan polis dan imigresen.

IRC ditubuhkan sejurus selepas pilihan raya umum pada 9 Mei 2018 untuk melengkapi Majlis Penasihat Kerajaan mengenai pembaharuan institusi, tetapi laporannya belum diumumkan.