Lombong runtuh, 9 maut di timur laut China

Lombong milik syarikat Jilin Longjiabao Mining di Wilayah Jilin runtuh pada Ahad dan mengakibatkan gempa bumi bermagnitud 2.3. (Gambar Facebook)

BEIJING: Sembilan orang maut, manakala 10 lagi cedera apabila sebuah lombong di Wilayah Jilin yang terletak di timur laut China runtuh pada Ahad, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik kenyataan pihak pentadbiran Zon Pembangunan Ekonomi Konggang.

Menurut kenyataan itu, lombong tersebut yang dimiliki Jilin Longjiabao Mining runtuh pada Ahad sekitar pukul 8 malam waktu tempatan dan mengakibatkan gempa bumi bermagnitud 2.3.

Para pelombong terperangkap di dalam lombong susulan runtuhan itu.

Pihak berkuasa tempatan mengarahkan operasi mencari dan menyelamat segera dilakukan, yang kini sudah selesai.

Satu siasatan berhubung insiden itu sedang dijalankan.

Kenyataan itu menyebut bahawa semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital dan mereka berada dalam keadaan stabil.