Pasukan ragbi Crusaders akan mengekalkan nama sehingga 2021

Selepas tragedi berdarah hingga mengorbankan 51 orang Islam ketika solat Jumaat di Christchurch Mac lalu, sebuah pasukan gergasi ragbi New Zealand, Canterbury Crusaders memutuskan untuk mengekalkan nama kelab itu untuk setahun lagi.

Bagaimanapun pasukan itu akan membuang imej pahlawan berkuda dan pedang pada logo mereka akhir tahun ini.

Perbalahan untuk pasukan itu menukar nama mereka selepas isu tersebut dibangkitkan orang awam.

Difahamkan, perkataan Crusaders yang diguna pakai sejak 23 tahun lalu itu mempunyai kaitan dengan peperangan agama zaman pertengahan antara orang Kristian dan umat Islam.

“Dari segi nama Crusaders itu, kami memahami kebimbangan yang telah dibangkitkan.

“Tetapi kedua belah pihak ketika ini berbelah bahagi apakah hala tuju dan yang akan mewakili mereka,” kata ketua eksekutif pasukan itu, Colin Mansbridge.

Bagaimanapun Pengerusi Rugby New Zealand, Brent Impey memberitahu Radio Sport bahawa “tidak ada hasrat dan tidak pernah ada niat nama Crusaders akan ditukar pada tahun 2020”.

Tetapi katanya, ia masih dibahaskan sama ada nama itu harus ditukar atau tidak untuk kebaikan di masa hadapan.

Menurut Mansbridge sebarang perubahan nama tidak akan dilakukan sehingga 2021 apabila lesen Crusaders perlu diperbaharui.

“Sementara itu, nama Crusaders akan dikekalkan untuk baki musim 2019 dan 2020, tetapi perubahan interim kepada logo akan berkuatkuasa untuk musim depan, dengan penghapusan imej pahlawan berkuda dan pedang,” katanya.

Sebelum ini Editor Newsroom New Zealand, Tim Murphy, menerusi akaun Twitter peribadinya turut melontarkan pandangan agar Crusaders hanya perlu menukar nama yang tidak masuk akal kepada “Champions”.

Malah Kapten pasukan All Blacks, Kieran Read, yang juga merupakan pemain pasukan Canterbury Crusaders memberi sokongan kepada masyarakat Islam di New Zealand menerusi akaun laman sosial Instagram miliknya.

Sumber: AFP

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]