Pattani: 3 suspek letup bom di Pasar Ramadan ditahan

Dalam kejadian 27 Mei lepas, sebutir bom buatan sendiri seberat 15 kilogram dipasang pada sebuah motosikal dan diaktifkan dengan menggunakan walkie-talkie. (Gambar Bernama)

PATTANI: Pihak keselamatan Thailand menahan 3 lelaki dipercayai terlibat dalam insden letupan di Pasar Bo Thong, Nong Chik, Pattani yang meragut 2 nyawa dan mencederakan 22 lagi pada 27 Mei lalu.

Jurucakap tentera Bahagian ke-4, Pramote Prom-in berkata, hasil risikan dan maklumat orang awam serta penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ketiga-tiga lelaki berumur antara 23 hingga 27 tahun itu ditahan di Pattani, semalam.

Beliau berkata, pihak keselamatan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di Mukim Makrud, Pattani pada 8.45 pagi (waktu tempatan) yang dipercayai menghantar dan membawa lari suspek dari tempat kejadian.

“Hasil soal siasat, pasukan keselamatan berjaya menahan 2 lagi suspek berusia 23 dan 27 tahun di Pattani. Lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai mengaktifkan bom dalam kejadian letupan, manakala lelaki 27 tahun kelihatan berlegar-legar di tempat kejadian.

“Kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian letupan bom,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pramote berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan di Kem Ingkayuthaborihan, Nong Chik yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, pihak keselamatan sedang mempergiatkan usaha untuk menjejaki seorang lagi suspek yang masih bebas.

“Suspek dikenali sebagai Abdul Qadir Satapho dari Mukim Pak Lo merupakan individu yang memasang bom pada motosikal,” katanya.

Pada 27 Mei, seorang remaja, 14 tahun, dan seorang wanita, 35 tahun, maut dalam kejadian yang berlaku pada 4.15 petang (waktu tempatan).

Baki 22 yang lain cedera, termasuk seorang kanak-kanak berusia 2 tahun dan 4 orang renjer yang sedang mengawal keselamatan di Pasar Ramadan itu.

Dalam kejadian itu, sebutir bom buatan sendiri seberat 15 kilogram dipasang pada sebuah motosikal dan diaktifkan dengan menggunakan walkie-talkie.