Polis mahu kesan 12 kubur Orang Asli didakwa meninggal dunia

Operasi polis mencari 12 kubur anggota suku Batek di Kuala Koh akan dibantu oleh beberapa orang penghulu Orang Asli kerana mereka lebih tahu kawasan hutan di situ. (Facebook pic)

GUA MUSANG: Polis akan mengesan kubur 12 Orang Asli suku Batek yang didakwa meninggal dunia dan ditanam cara adat di Kampung Kuala Koh dalam tempoh sebulan lalu akibat jangkitan kuman saluran pernafasan dan paru-paru.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, gerakan mengesan kubur berkenaan akan bermula esok, membabitkan 30 anggota dari Pasukan Gerak Am (PGA) dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang.

Beliau berkata, beberapa penghulu Orang Asli juga akan ikut bersama dalam operasi terbabit kerana mereka lebih tahu kawasan hutan berhampiran kampung itu yang dikatakan menjadi tempat pengkebumian 12 orang yang meninggal dunia itu.

Katanya, apabila menemui kubur tersebut, pihaknya akan menggali semula untuk diambil mayat dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

“Selagi tidak ditemui, maka selama itulah kita tidak dapat mengetahui punca kematian mereka,” katanya kepada pemberita di IPD Gua Musang, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau meninjau dari udara Kampung Kuala Koh dan melihat sungai didakwa tercemar dengan aktiviti perlombongan yang dipercayai menjadi punca jangkitan kuman menyebabkan kematian.

Acryl Sani berkata, sehingga kini polis belum dapat mengesahkan kematian 12 penduduk Orang Asli berkenaan.

“Apa yang kita sedia maklum setakat ini, hanya 2 sahaja Orang Asli yang meninggal dunia dilaporkan kepada polis selepas bedah siasat dijalankan. 12 orang lagi yang meninggal dunia, hanya dimaklumkan oleh pihak tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti dakwaan pengaliran air sungai yang menjadi keperluan komuniti itu didakwa tercemar sebagai penyebab jangkitan kuman saluran pernafasan dan paru-paru.

“Jika benar dakwaan itu, kita akan melakukan siasatan lebih terperinci untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya.