Proton catat jualan bulanan tertinggi dalam tempoh hampir 4 tahun

Proton berkata, pertumbuhan kukuh jualannya disumbangkan oleh Proton X70 yang kekal sebagai peneraju pasaran SUV.

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) menjual sebanyak 10,611 kereta pada bulan Mei, angka jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan.

Syarikat pembuat kereta itu berkata, jumlah unit dijual pada bulan itu adalah 51.3% lebih tinggi berbanding April, justeru meningkatkan pertumbuhan jualan keseluruhan bagi tempoh 5 bulan pertama tahun 2019 kepada lebih 70% tahun ke tahun.

“Bahagian pasaran bagi bulan tersebut dianggarkan berada pada 17.2%, menandakan satu lagi perkembangan penting bagi syarikat sejak Januari 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Proton berkata, pertumbuhan jualan kukuh itu disumbangkan oleh Proton X70, kenderaan utiliti sukan pertama (SUV) syarikat itu, dengan 2,439 unit dijual pada Mei, menjadikan jumlah unit yang diserahkan dalam tempoh 5 bulan pertama tahun ini kepada 13,572.

“Oleh itu, Proton X70 kekal sebagai peneraju pasaran SUV dari segi jualan keseluruhan,” katanya.

Syarikat automotif itu berkata, angka jualan kumulatif untuk model yang dilancarkan baru-baru ini menyumbang 36% daripada keseluruhan jualannya, dengan menerima lebih 10,000 tempahan sehingga kini.

Ketua pegawai eksekutif, Li Chunrong berkata, Proton menyasarkan untuk meneruskan pertumbuhan jualannya dengan memperkenalkan penambahbaikan dalam rangkaian model semasanya dan memperbaiki pengalaman jenama dengan membuka lebih banyak cawangan 3S/4S.

“Ini akan membantu dalam memastikan imej jenama Proton bertambah baik dan pada masa yang sama kami terus mentakrifkan semula nilai jenama kami sebagai persediaan untuk memperkenalkan lebih banyak model yang dibangunkan secara bersama dengan Geely pada masa akan datang,” katanya.