Punca kematian Orang Asli Kuala Koh belum dikenal pasti, kata Dzulkefly

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad melawat penduduk Orang Asli dari Kampung Kuala Koh yang menerima rawatan di Hospital Gua Musang hari ini.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan hari ini berkata, ia masih belum mengenal pasti punca sebenar kematian Orang Asli di Kampung Kuala Koh di Kelantan.

Menterinya, Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan punca kematian disebabkan jangkitan virus.

“Punca (kematian) belum dapat kami kenal pasti secara tepat dan muktamad, tapi kami meneruskan siasatan dan akan teruskan dengan ujian serologi dan
‘polymerase chain reaction (PCR)’ dengan lebih mendalam.

“Hari ini kami buat diagnosis, kemungkinan besar ia berpunca daripada bakteria dan jangkitan virus sekunder. Dalam waktu terdekat kami dapat kenal pasti punca sebenar,” katanya pada
satu sidang media selepas melawat mangsa yang dirawat di Hospital Gua Musang.

Dalam perkembangan sama, Dzulkefly tidak menolak kemungkinan masalah kesihatan yang berlaku dalam kalangan Orang Asli di situ disebabkan jangkitan paru-paru memandangkan kawasan petempatan mereka terletak berhampiran tapak perlombongan.

“Jangkitan paru-paru memang wujud sebagai satu penyakit akibat pelombongan. Itu juga kita akan kenal pasti sebab kita tahu di sana ada kawasan perlombongan,” katanya sambil menafikan kematian Orang Asli berpunca daripada penyakit batuk kering dan kencing tikus (leptospirosis) seperti dilaporkan.

Beliau berkata, berdasarkan bedah siasat yang dijalankan kementerian mengesahkan hanya 2 kematian dicatatkan setakat ini, sementara 50 penduduk masih dirawat.

“Mereka yang dirawat di Hospital Gua Musang seramai 37 orang, Hospital Kuala Krai 12 orang dan seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

“Secara rasmi kes yang kami tangani, 2 kematian dicatatkan berdasarkan bedah siasat kita,” katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan mengesan masalah kesihatan di Kuala Koh sebulan lebih awal, iaitu pada Mei, tetapi menghadapi masalah bertemu penduduk Orang Asli memandangkan mereka selalu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Lebih kurang sebulan sebelum ini kita dapat kesan, jadi kita pergi ke sana (Kampung Kuala Koh), mereka selalu bergerak, jadi kami tidak dapat berjumpa mereka,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengambil beberapa sampel, termasuk air untuk kajian lanjut.

Sementara itu, pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, penyakit itu mungkin merebak melalui pernafasan, justeru orang luar dilarang memasuki kawasan perkampungan terbabit.

“Bagi mengelakkan ia merebak kita kena hadkan pergerakan. Anggota kita yang bertugas juga dilengkapkan dengan alatan sesuai bagi memastikan mereka tidak dijangkiti.,” kata beliau.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mendakwa 14 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh meninggal dunia kerana jangkitan pneumonia sejak 2 Mei hingga 7 Jun lepas.

Katanya, Kementerian Kesihatan telah menubuhkan satu pasukan bai menyelaras tindakan antara pelbagai agensi kerajaan bagi mengawal penularan penyakit itu dalam kalangan Orang Asli.