Suami bekas peguam inkues Adib letak jawatan sebagai pembantu Zuraida

Ahmad Soffian Mohd Shariff

PETALING JAYA: Suami Syazlin Mansor, bekas peguam yang menarik diri daripada mewakili pihak kerajaan dan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim dalam inkues menentukan punca kematian anggota bomba itu, meletak jawatan sebagai setiausaha politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Untuk makluman semua, saya telah menghantar surat peletakan jawatan hari ini dan akan bercuti selama sebulan,” kata Ahmad Soffian Mohd Shariff dalam mesej WhatsApp hari ini.

Keputusan itu menyusul 2 minggu selepas isterinya, Syazlin menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Adib, selepas beliau diarahkan berbuat demikian oleh Peguam Negara, Tommy Thomas atas alasan konflik kepentingan.

Thomas turut menyebut kaitan Syazlin dengan Soffian.

Sementara itu, Zuraida dalam satu kenyataan berkata, beliau menerima notis peletakan jawatan Soffian melalui WhatsApp dan menghormati keputusannya.

“Namun, memandangkan pada waktu ini saya masih berada di luar negara atas beberapa urusan, perkara ini akan diperhalusi sekembalinya saya di tanah air,” katanya yang kini berada di Istanbul.

Beliau menyifatkan Soffian sebagai kakitangan berdedikasi dan berkomitmen tinggi terhadap tugasnya.

Syazlin membawa seorang ahli patologi untuk meneliti laporan bedah siasat Hospital Kuala Lumpur yang mencadangkan tiada kecederaan dialami Adib.

Timbul spekulasi Adib meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya ketika beliau didakwa diserang sekumpulan individu dalam rusuhan yang berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November lalu.

Adib, 24, meninggal dunia pada 17 Disember 2018, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.