Terima keputusan Dr M, kata Anwar berhubung pelantikan Latheefa

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, polemik berhubung pelantikan Latheefa dikhuatiri mendorong implikasi negatif terhadap citra dan imej kerajaan PH.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim hari ini menggesa pimpinan Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melantik Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden PKR itu berkata, pimpinan PH juga seharusnya memberikan ruang kepada Latheefa dan SPRM untuk menjalankan tugasnya dengan tegas dan berkesan.

“Saya yakin Dr Mahathir dan pimpinan PH akan menilai segala pandangan dengan penuh prihatin dan selanjutnya menjelaskan kepada Kabinet dan majlis presiden PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini merupakan kenyataan pertama Anwar selepas pelbagai kritikan dan pandangan dibuat berhubung isu itu. Pelantikan Latheefa bukan sahaja mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pimpinan PH, bahkan PKR sendiri.

Beberapa pimpinan PKR menyokong, sementara yang lain menggesa orang ramai menandatangani satu petisyen yang dilancarkan bagi mendesak Latheefa meletak jawatan.

Anwar berkata, pelbagai reaksi daan polemik yang dizahirkan dalam kalangan pimpinan PH, NGO dan anggota masyarakat dikhuatiri mendorong implikasi negatif terhadap citra dan imej kerajaan PH.

“Secara positif polemik tersebut memperkukuh komitmen PH untuk memastikan SPRM melaksanakan tugas secara adil,” katanya.

Anwar juga berkata, justeru itu SPRM dituntut mengambil tindakan terhadap semua kes rasuah, sama ada dilakukan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) atau PH.

“Pimpinan PH, NGO dan rakyat pasti akan terus memantau perjalanan dan keberkesanan agensi itu,” katanya.

Latheefa sebelum ini berkata, beliau komited untuk membanteras rasuah dan dengan sokongan pegawai SPRM, berhasrat mahu mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang menolak dan bebas rasuah.

Pada 4 Jun lepas, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan peguam dan pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu sebagai ketua pesuruhjaya SPRM baru berkuatkuasa 1 Jun lepas.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontrak beliau yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020 lebih awal.