Zuraida terima keputusan setiausaha akhbar letak jawatan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin secara prinsip menghormati keputusan Ahmad Soffian Mohd Shariff yang meletak jawatan sebagai setiausaha akhbarnya hari ini.

Zuraida dalam kenyataannya hari ini berkata, beliau sudah menerima notis peletakan jawatan Ahmad Soffian melalui aplikasi WhatsApp.

“Namun memandangkan pada waktu ini saya masih berada di luar negara atas beberapa urusan, perkara ini akan diperhalusi sekembalinya saya di tanah air,” katanya yang menyifatkan Ahmad Soffian seorang kakitangan yang dedikasi dan sering memberikan komitmen tinggi terhadap tugasan.

Ahmad Soffian pada pagi ini menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada pihak media memaklumkan bahawa beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan hari ini dan akan bercuti selama sebulan.

Ahmad Suffian merupakan suami peguam Syazlin Mansor yang terlibat dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Syazlin, yang mewakili kementerian, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan keluarga Adib menarik diri pada peringkat akhir inkues berkenaan.

Peguam Negara Tommy Thomas kemudiannya menjelaskan beliau mengarahkan supaya khidmat Syazlin ditamatkan kerana kerap bercanggah pendapat dengan timbalan pendakwa raya dalam inkues itu.