100 maut dalam keganasan perkauman di Mali

Wilayah tengah Mali mengalami keganasan etnik sejak 2015 membabitkan suku kaum seperti Fulani, Dogon dan Bambara. (Gambar AFP)

BAMAKO: Hampir 100 penduduk sebuah kampung di Mali terbunuh dalam keganasan terbaru yang melanda negara Afrika berkenaan.

Setakat ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai itu yang menyasarkan suku kaum Dogon di daerah Koundou, tengah Mali.

Serangan itu dikatakan berkait dengan keganasan suku kaum yang menyaksikan ratusan mangsa dibunuh sebelum ini. Ia berlaku 3 bulan selepas pembunuhan 160 penduduk suku kaum Fulani oleh suku kaum Dogon.

“Negara ini tidak boleh terus berada di bawah telunjuk dendam dan pembalasan,” kata Presiden Mali, Ibrahim Boubacar Keita.

Beliau menggesa warga Mali bersatu untuk “menyelamatkan negara kami kerana ini adalah isu survival”.

Pegawai tempatan di Koundou berkata serangan terbaru di Kampung Sobane-Kou mengorbankan 95 orang, manakala 19 lagi masih hilang.

Kampung itu dikatakan mempunyai kira-kira 300 penduduk sebelum ini.

Wilayah tengah Mali mengalami keganasan etnik sejak 2015 membabitkan suku kaum seperti Fulani, Dogon dan Bambara.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Antonio Guterres memberi amaran keganasan di Mali akan bertambah buruk, jika kerajaan tidak bertindak tegas mengekang kumpulan pelampau di negara itu.