Enggan hantar pulang Zakir Naik tindakan betul, kata peguam

Zakir Naik melawan sebarang cubaan menghantarnya pulang ke India untuk berdepan tuduhan pengubahan wang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang peguam mempertahankan Dr Mahathir Mohamad selepas perdana menteri itu dikritik kerana keputusan tidak menghantar pulang penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata Mahathir membuat keputusan yang betul kerana Naik, yang berdepan tuduhan pengubahan wang di India, memegang status pemastautin tetap di Malaysia.

“Jadi Malaysia ada kepentingan untuk memberikan perlindungan sedemikian kepadanya,” kata Rafique kepada FMT.

Semalam, Mahathir mencadangkan Malaysia mungkin menolak sebarang permintaan penghantaran pulang daripada India, seperti keengganan Australia menghantar pulang Sirul Azhar Umar, yang disabit kesalahan membunuh.

Kenyataan itu mengundang reaksi keras daripada golongan aktivis yang membantah keberadaan Naik di Malaysia.

Rafique menggesa pengkritik “mengkaji dengan betul” fakta-fakta sekitar kes Naik.

Beliau berkata India tidak menjelaskan apa yang mereka mahu dari Malaysia.

Muhammad Rafique Rashid Ali

Rafique berkata Interpol membatalkan permintaan notis merah terhadap Naik yang difailkan oleh New Delhi pda 2017. Beliau berkata ia “menunjukkan kegagalan prosedur tertentu oleh pihak berkuasa India”.

“Kita perlu mengambil perhatian tentang apa yang berlaku dalam tribunal rayuan di India, yang mana Hakim Manmohan Singh menegur peguam-peguam Direktorat Penguatkuasan semasa prosiding,” katanya.

Rafique juga berkata tidak ada satu bukti pun yang mengaitkan Naik kepada serangan pengganas di Dhaka.

Naik dipersalahkan oleh pihak berkuasa Bangladesh atas serangan pada 2016 itu yang meragut 22 nyawa. Penceramah itu menolak tuduhan itu.

Naik didakwa atas tuduhan pengubahan wang tanpa kehadirannya di India bulan lepas. Direktorat Penguatkuasaan India menuduh dia memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta).

Naik menafikan dakwaan-dakwaan tersebut dan berkata dia sedia pulang ke India untuk berdepan pertuduhan, tetapi bimbang dipenjarakan seperti suspek beragama Islam lain yang didapati tidak bersalah oleh mahkamah beberapa tahun kemudian.

Mahkamah di Mumbai, India dijangka akan membuat keputusan pada 19 Jun ini sama ada waran tangkap perlu dikeluarkan terhadap Naik. India mungkin meminta bantuan Interpol untuk menahannya dan membawanya pulang untuk dibicarakan.

Rafique bagaimanapun mempersoalkan pihak berkausa di India mengenai prosedur undang-undang.

“Seperti yang dapat dilihat daripada urutan peristiwa, tindakan-tindakan pihak berkuasa India sebelum ini penuh percanggahan dan kesilapan,” katanya.

“Jadi kenapa pula kita sebagai sebuah negara, yang berbangga dengan kedaulatan undang-undang, perlu tunduk pada tekanan?”

Surendra Ananth

Seorang lagi peguam, Surendra Ananth berkata, soal kedaulatan tiada peranan penting dalam kes Naik.

Beliau mengingatkan Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan India.

“Dengan berbuat demikian, ia bersetuju untuk terikat dengan terma-terma perjanjian itu,” katnaya.

“Dalam menentukan sama ada Malaysia mematuhi tanggungjawab itu, soal kedaulatan tak lagi timbul.”

Beliau berkata dalam mempertimbangkan sebarang perintaan untuk menghantar pulang Naik, Putrajaya mesti tentukan sama ada kesalahan yang dituduh terhadap Naik itu juga suatu kesalahan di sini.

“Inilah sebab kenapa permintaan seperti itu mesti sangat terperinci dan mesti memasukkan fakta-fakta tentang kesalahan itu, undang-undang yang didakwa disalahi, dokumen atau bentuk-bentuk keterangan lain bagi menyokong dakwaan itu.”

Surendra berkata Perkara 8 dalam perjanjian ekstradisi itu menyatakan, India tidak perlu membuktikan kes prima facie terhadap Naik.

“Ia pada dasarnya pertanyaan tahap permukaan. Malaysia tidak perlu bimbang sama ada kesalahan itu boleh dibuktikan bawah undang-undang India,” katanya.

Surendra berkata walaupun Malaysia boleh menolak permintaan itu kerana bimbang Naik akan dianiaya, dia tidak fikir sistem keadilan di India akan menjadi tidak adil.

“Hakikatnya bahawa Malaysia menandatangani perjannjian dengan India menandakan kita mempercayai sistem keadilan mereka.”