Jong Nam pernah jadi ejen CIA, kata laporan

Kim Jong Nam dibunuh di klia2 pada Februari 2017. (Gambar fail)

WASHINGTON: Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un yang dibunuh di Malaysia pada 2017, pernah menjadi pemberi maklumat untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, lapor The Wall Street Journal pada Isnin.

Ia memetik “orang yang tahu mengenai perkara itu” dalam laporan itu dan berkata banyak maklumat mengenai hubungan Jong Nam dan CIA kekal tidak jelas.

Reuters tidak boleh mengesahkan laporan itu dan CIA enggan memberi sebarang kenyataan.

WSJ memetik individu itu sebagai berkata, “ada hubungan” antara CIA dan Jong Nam.

“Beberapa bekas pegawai AS berkata, abang tiri (Jong Un) yang pernah tinggal di luar Korea Utara selama bertahun-tahun dan tiada asas kuasa diketahui di Pyongyang, mungkin tidak dapat memberi butiran mengenai kerja dalaman rahsia di negara itu.”

Bekas pegawai berkata, Jong Nam hampir pasti ada berhubung dengan khidmat keselamatan negara lain, khasnya China, lapor akhbar itu.

Pegawai Korea Selatan dan AS dilaporkan berkata, pihak berkuasa Korea Utara mengarahkan pembunuhan Jong Nam yang pernah mengkritik pemerintahan dinasti keluarganya. Pyongyang bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Dua wanita yang dituduh meracuni Jong Nam dengan menyapu cecair VX, senjata kimia diharamkan, ke mukanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Februari 2017. Malaysia membebaskan wanita Indonesia, Siti Aisyah pada Mac lalu dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, bulan lalu.

WSJ memetik individu itu sebagai berkata, Jong Nam datang ke Malaysia pada Februari 2017 untuk menemui orang hubungannya di CIA, walaupun itu mungkin bukan satu-satunya tujuan lawatannya ke negara ini.

Presiden, Donald Trump dan Jong Un pernah bertemu 2 kali, di Singapura pada Jun 2018 dan Hanoi pada Februari lalu, tetapi kedua-duanya gagal mencapai persetujuan untuk membatalkan sekatan AS ke atas Korea Utara sebagai pertukaran bagi menghapuskan program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.