Malas flos gigi berisiko diserang sakit jantung, radang paru-paru dan Alzheimer

Bilakah kali terakhir anda flos gigi? Walaupun aktiviti membersihkan gigi nampak remeh, bakteria yang tersembunyi di kawasan sukar dibersihkan oleh berus gigi sebenarnya mampu mendatangkan masalah kesihatan serius terhadap tubuh seseorang.

Daripada penyakit jantung kepada Alzheimer, ini antara risiko yang bakal menanti sekiranya anda malas flos gigi!

Meninggalkan rutin flos gigi selama beberapa hari sahaja sudah membuatkan nafas seseorang berbau dan mengalami gigi sensitif.

Pakar pergigian Dr Greg Grobmyer dari Amerika Syarikat berkata, memberus gigi hanya membersihkan bahagian atas dan sisi gigi, tetapi ia tidak dapat melakukan apa-apa terhadap ruang antara gigi.

“Flos satu-satunya cara untuk membuang bakteria dan makanan di ruang yang sempit.

“Bakteria dan makanan yang tertinggal di kawasan ini boleh menyebabkan nafas berbau, gigi reput, kehilangan tulang dan keradangan gusi,” jelasnya.

Apabila plak terbentuk di gigi dan gusi, toksin akan dibebaskan dan mencetuskan reaksi imun daripada tubuh.

Situasi ini akan meningkatkan aliran darah dan sel di kawasan yang mengalami keradangan gusi.

Inilah punca mengapa gusi boleh berdarah ketika digosok atau flos selepas bakteria terkumpul.

Penyakit gusi juga boleh beralih ke salur darah dan menyebabkan peningkatan dalam protein C-reaktif, sejenis penanda untuk keradangan dalam salur darah.

Bilangan protein C-reaktif menjadi cara paling berkesan untuk doktor meramal penyakit jantung.

Jumlah protein yang tinggi menunjukkan terdapat keradangan dalam salur darah seseorang itu.

“Bakteria mulut boleh masuk ke dalam salur darah menerusi tisu yang teransang dan berakhir di injap jantung, sekali gus membawa kepada serangan jantung, strok dan pelbagai lagi,” kata Grobmyer.

Bagi mereka yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah, bakteria mulut mampu tersebar dengan mudah.

Tambah Grobmyer, bakteria mulut juga boleh disedut atau dihembus ke paru-paru dan membawa kepada radang paru-paru atau pneumonia.

Bukan itu sahaja, dalam beberapa kajian terkini, penyakit gusi dikaitkan dengan beberapa kes Alzheimer.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances pada tahun ini, ujian ke atas tisu otak pesakit Alzheimer menemukan patogen utama porphyromonas gingivalis yang berkait dengan penyakit gusi.

Kesimpulannya, jadikan aktiviti flos gigi sebagai rutin dalam penjagaan mulut agar dapat merendahkan risiko penyakit berbahaya terhadap kesihatan anda.

Sumber: Best Life

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]