Tak perlu mandat Putrajaya lantik saya ketuai Yayasan Wilayah Persekutuan, kata Khalid

Khalid Samad berkata, beliau dan ahli lembaga pemegang amanah tidak mempunyai konflik kepentingan dalam YWP kerana mereka tidak boleh menerima sebarang keuntungan peribadi dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad hari ini mempertahankan pelantikannya sebagai pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berdasarkan Artikel 22 Memorandum & Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) yayasan itu.

“Berdasarkan artikel ini, menteri Wilayah Persekutuan secara langsung mempunyai tanggungjawab sebagai pengerusi YWP dan lantikan ini juga tidak memerlukan mandat kerajaan persekutuan,” katanya dalam sidang media khas di Wisma YWP.

Beliau berkata, tidak wujud konflik kepentingan dalam YWP kerana ahli lembaga pemegang amanah yayasan itu tidak boleh menerima sebarang keuntungan peribadi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Ahli Parlimen Shah Alam itu bagaimanapun tidak menafikan dakwaan wang YWP pernah diseleweng dulu, tetapi selepas pertukaran kerajaan, YWP ditadbir menggunakan pendekatan lebih baik.

“YWP kini di bawah kepimpinan baru yang lebih telus bagi membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat di bandar.”

Februari lalu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mempertikaikan tindakan kerajaan meneruskan amalan pelantikan politik dalam lembaga pengarah YWP yang terbabit dengan urus niaga tanah meragukan di bawah pentadbiran terdahulu.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel dilaporkan mendakwa trend itu berterusan dalam pemegang amanah lembaga pengarah YWP dengan Khalid sebagai pengerusinya.

Hari ini, Khalid berkata, ahli lembaga pemegang amanah YWP tidak menerima gaji dan pegangan saham.

Katanya, YWP perlu mencari sumber dana melalui pelbagai cara, termasuk perniagaan atau pelaburan, tetapi ia bukan demi kepentingan peribadi ahli lembaga pemegang amanah YWP.

“Artikel 5 menyatakan tiada bahagian dari pendapatan atau harta YWP yang harus dibayar atau dipindahkan kepada ahli (lembaga pemegang amanah YWP) dari segi dividen, bonus mahupun keuntungan.”

Dalam perkembangan lain, Khalid mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mendapat banyak maklum balas daripada peniaga yang menerima baik pemindahan tapak bazar Ramadan dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Raja, tahun ini.

Katanya, peniaga dilihat gembira kerana sewa khemah yang murah dan dilengkapi kemudahan seperti penghawa dingin.

Beliau memberi alasan gaji sebagai faktor bazar itu kurang mendapat sambutan pada awal Ramadan.

“Kunjungan dan pembelian hanya bermula hujung bulan sebab gaji dapat hujung bulan.

“Sebelum ini, Aidilfitri pada hujung bulan, mereka dapat gaji awal. Tahun ini, raya awal bulan, jadi gaji tak dapat awal,” katanya yang mendakwa jualan peniaga meningkat secara mendadak pada 2 minggu terakhir.