Anwar kecam dakwaan seks sejenis terhadap Azmin

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim mengecam dakwaan seks sejenis terhadap timbalannya, Azmin Ali, oleh Muhammad Haziq Aziz, seorang pemimpin Pemuda partinya.

Anwar pada sidang media selepas mesyuarat biro politik PKR hari ini menegaskan pendirian parti terhadap “politik jijik dan keji”.

“Negara perlu tumpu pada soal pembangunan ekonomi dan sosial dan tidak terheret ke dalam kancah yang hina.

“PKR berharap Azmin dan keluarga akan tabah dan bersabar dalam menghadapi dugaan dahsyat ini.”

Anwar berkata partinya menyokong siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas perkara itu.

Beliau berkata tiada bukti pembabitan PKR, susulan dakwaan sesetengah pihak bahawa ia serangan daripada dalam parti itu.

Kenyataan Anwar ini menyusuli pendedahan video kedua yang didakwa membabitkan individu mirip seorang menteri yang tersebar di WhatsApp sejak semalam.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu, dan yakin tuduhan itu komplot jahat yang dimulakan beberapa bulan lalu.

Mengenai video terbaru itu, Anwar berkata ia tidak mengubah pendirian partinya.

Beliau menambah dia berbual panjang lebar dengan Azmin dan meyakinkan beliau PKR akan membantunya dalam apa jua cara yang boleh.

Menurut Anwar, Azmin memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri mesyuarat malam tadi dan menyerahkan perkara diputuskan oleh biro politik.

Anwar berkata Azmin akan kekal sebagai timbalan presiden.

Mengenai Haziq, pegawai kepada Naib Presiden Shamsul Iskandar, Anwar berkata belum ada keputusan mengenai nasibnya.

“Kita akan bincang semula. Hari ini belum ada apa-apa keputusan dibuat kerana kita kaji beberapa implikasi lain, jadi kita tidak mahu menganggu perkara itu,” katanya.

PKR menyerahkan kepada polis dan SPRM untuk meneruskan siasatan.

“Saya sangka apa yang saya alami sebelum ini adalah yang terakhir; malangnya trend ini nampaknya berterusan. Ia menyedihkan, menyakitkan hati dan saya tentang sama sekali.

“Bukan begini caranya kita dihakimi atau dinilai dalam politik atau masyarakat,” katanya, merujuk kepada pengalamannya berdepan dakwaan-dakwaan seperti itu.

Terdahulu, Azmin berkata dia akan memgambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Haziq mendakwa individu dalam video yang memaparkan seks sejenis itu adalah Azmin dan dirinya.