Azmin tak sertai mesyuarat PKR malam ini, kata Anwar

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang hari ini menafikan dakwaan seks sejenis tidak akan menyertai mesyuarat biro politik partinya malam ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan perkara tersebut ketika ditemui pemberita sebelum mesyuarat bermula.

Anwar berkata dia ada berbual panjang lebar dengan timbalannya itu hari ini, tetapi enggan mengulas perbincangan itu.

“Saya akan maklumkan pimpinan parti terlebih dahulu. Saya sudah bercakap dengan setiap pemimpin parti mengenai perkara itu. Saya fikir mesyuarat malam ini akan tidak akan mengambil masa yang lama.”

Terdahulu dilaporkan biro politik PKR dijangka akan membincangkan dakwaan terhadap Azmin, susulan dakwaan seorang pegawai timbalan menteri, Muhammad Haziq Aziz hari ini mengenai individu yang dirakamkan dalam satu video seks sejenis yang tersebar baru-baru ini.

Haziq mendakwa Azmin, dan dirinya, adalah orang dalam video itu.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut, dan yakin tuduhan itu komplot jahat yang dimulakan beberapa bulan lalu.

Beliau juga mengarahkan para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.