Bekas SUA Zuraida dakwa letak jawatan kerana hilang kepercayaan

Ahmad Soffian Mohd Shariff.

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha akhbar kepada Menteri Zuraida Kamaruddin mendedahkan sebab dia meletakkan jawatan, selepas isterinya, peguam Syazlin Mansor mengundurkan diri sebagai peguam keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bomba dalam inkues kematian anggota bomba itu.

Ahmad Soffian Mohd Shariff mendakwa ia ada kena mengena dengan perkembangan kes Adib, selain tidak lagi meyakini kerajaan Pakatan Harapan.

“Sebab itu saya undur diri. Saya tak mahu jadi gunting dalam lipatan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Syazlin hari ini.

“Saya sudah tak yakin dengan keseluruhan pentadbiran PH. Kalau saya terus kekal dan kritik, nanti orang anggap saya nak sabotaj kerajaan.”

Soffian bagaimanapun berkata Zuraida seorang majikan dan pemimpin yang baik dan komited membantu rakyat.

“Saya tidak sanggup berdepan dengannya untuk menghantar surat letak jawatan,” katanya.

Hubungan Syazlin dan Soffian disebut oleh Peguam Negara Tommy Thomas sebagai antara sebab kenapa Syazlin sepatutnya menolak pelantikan kerajaan dalam inkues Adib.

Syazlin menarik diri sebagai peguam kepada keluarga Adib, KPKT dan bomba pada 27 Mei lalu.

Soffian menghantar surat peletakan jawatanya pada 10 Jun lepas.