Belajar bermain alat muzik mampu hindarkan diri dari depresi

CK banyak menghabiskan masa di dalam bilik ini untuk mengajar pelajarnya bermain gitar.

Sering kali kita terdengar atau membaca berita sama ada di media perdana, media atas talian atau media sosial mengenai kes bunuh diri atau mati mengejut yang disebabkan gangguan mental atau lebih dikenali sebagai depresi.

Namun, adakah anda tahu, terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah itu daripada tindakan melulu yang membahayakan nyawa anda?

Salah satunya dengan terapi diri melalui bermain alat muzik.

Seorang guru muzik ketika ditemui FMT Ohsem berkata, menguasai kemahiran bermain instrumen muzik mampu menjadikan individu ke arah lebih positif dan berkeyakinan.

Yee Chee Kien, 19, mengakui dirinya pernah berada di dalam fasa yang “gelap” ketika di bangku sekolah.

Katanya masalah keluarga yang dihadapinya menjadikan dia seorang pendiam dan malu berhadapan dengan orang ramai.

Bagaimanapun, dia menemui sinar baru apabila melihat beberapa rakannya berkumpul bermain gitar di dalam kawasan sekolah.

“Saya terus ‘join’ mereka bermain 1, 2 lagu dengan gitar mereka.

Yee Chee Kien, 19 tahun merupakan intruktor gitar di Music Factory, sebuah akademi muzik di Seri Kembangan, Selangor.

“Kawan-kawan juga terkejut dan rasa teruja apabila lihat saya boleh belajar bermain gitar dengan sangat pantas,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Music Factory, tempat beliau bekerja sejak beberapa tahun lalu.

Bercerita lebih lanjut, Chee Kien atau lebih mesra dengan panggilan CK memberitahu, kemahiran bermain alat muziknya banyak dibantu oleh rakan-rakan sekolah.

Malah, rakannya selalu memperkenalkan dirinya kepada oang lain dan menyuruhnya membuat persembahan di hadapan kenalan yang baru.

Dari situ, dia menjadi semakin yakin dan mampu menepis rasa malu yang terlampau.

Tambahnya di rumah, apabila dia mula memikirkan tentang masalah peribadi melibatkan keluarganya, dia akan bermain gitar dan dengan cara itu dia akan tenang.

“Saya rasa lebih tenang dan gembira apabila bermain gitar dan bernyanyi dengan sendiri di dalam bilik.

“Stress dan tekanan yang saya alami semakin berkurang,” katanya sambil menambah, keluarganya sungguh teruja apabila mendapat tahu beliau boleh bermain alat muzik dalam masa yang sangat singkat.

“Mereka juga rasa gembira kerana dalam tempoh kami diuji, sebenarnya masih ada cara untuk rasa bahagia.”

CK juga boleh bermain alat muzik seperti drum dan piano.

Kini, CK berkhidmat sebagai guru muzik di Seri Kembangan, Selangor dan membuat persembahan secara “freelance” di beberapa majlis jamuan, keramaian, festival dan juga di gereja.

Sehingga kini dia mempunyai lebih 10 pelajar dari pelbagai lapisan umur bermula daripada usia muda hinggalah golongan dewasa cecah 50 tahun.

Dia juga sering menekankan kepada pelajarnya bahawa dalam usaha mempelajari dan menguasai instrumen muzik secara santai bukannya secara paksa.

“Belajar muzik untuk hobi dan kesenangan hati. Jangan rasa tertekan.

“Itu tujuan utama saya, saya tidak pernah jemu untuk bertanyakan kepada pelajar yang datang kepada saya, ‘Mengapa anda mahu bermain muzik?.”

Katanya, jika dia dapat mengesan pelajar yang tidak berminat ketika dalam sesi pembelajaran, dia akan menyuarakan kebimbangannya itu kepada ibu bapa pelajar berkenaan.

“Saya akan terus terang mengatakan anak mereka tidak berminat.

“Kanak-kanak ada kecenderungan mereka sendiri. Ada yang minat bermain alat muzik, tapi tak semestinya gitar. Mungkin mereka minat piano.

“Ada juga yang minat bidang sukan seperti bermain bola sepak,” katanya.

Tambahnya, muzik diciptakan untuk menghiburkan pemainnya dan menggembirakan orang lain.

Oleh itu, seseorang itu tidak wajar berasa tertekan dengan perkara yang sepatutnya menjadi satu kegembiraan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]