Biar Jho Low pertahan diri tanpa hadir di mahkamah, kata rakan keluarga

Low Taek Jho diburu pihak berkuasa berhubung skandal 1MDB.

GEROGE TOWN: Seorang kawan rapat kepada ibu bapa Low Taek Jho hari ini mencadangkan pendakwa raya membenarkan ahli perniagaan itu mempertahankan diri tanpa hadir di mahkamah, susulan kebimbangan beliau mendapat perbicaraan adil jika pulang ke Malaysia.

Yan Lee yang mempertahankan keluarga Low ketika pihak berkuasa merampas rumah agam milik ibunya di Tanjung Bungah, berkata semua orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low perlu diberikan layanan sama.

Bercakap kepada FMT di luar sidang media di sini, hari ini, Lee berkata, beliau tidak tahu di mana Jho Low berada, tetapi sudah menghubungi peguamnya di firma guaman Schillings yang berpangkalan di London untuk menjamin banglo itu dibeli dengan cara sah.

Pihak berkuasa mahu merampas rumah itu sebagai sebahagian daripada tindakan pelucutan hak sivil bernilai RM680 juta atas alasan ia mungkin dibeli menggunakan dana diseleweng dari 1MDB.

Lee berkata, rumah itu dimiliki keluarga Jho Low sejak 2000, sebelum 1MDB ditubuhkan dan ia dibina atas tanah rumah lama mereka.

“Dalam era Malaysia Baru, kita mendukung kedaulatan undang-undang.

“Prinsip tidak bersalah sehingga terbukti bersalah perlu ditegakkan, jika tidak seluruh sistem, institusi dan semua yang lain akan rosak.”

Katanya, tiada orang mahu pulang ke negara ini, jika merasakan mereka mungkin tidak akan mendapat perbicaraan adil.

“Saya pasti mahkamah mungkin ada cara untuk menanganinya, apabila tertuduh tidak hadir. Sama ada tanpa kehadirannya atau cara lain, mahkamah diberi kuasa untuk membuat keputusan.

“Hanya mahkamah boleh menentukan jika seseorang itu bersalah atau tidak. Selepas mereka didapati bersalah, saya akan tepuk tangan bersama semua rakyat Malaysia.”

Ditanya bagaimana beliau mengenali Jho Low, Lee berkata, mereka bertemu ketika ahli perniagaan itu terbabit dalam satu kemalangan kira-kira 20 tahun lalu.

Katanya, beliau sedang bersama bapa Jho Low di rumah mereka di Jalan Berek ketika kemalangan itu berlaku.

“Jho Low terbabit dalam satu kemalangan. Keretanya bertembung dekat rumah (pemaju) Asas Dunia, Paul Chan. Kami pergi membantunya.”

Beliau menyifatkan Jho Low sebagai budak bijak yang pernah belajar di Sekolah Menengah (Persendirian) Chung Ling di Air Itam.

Jho Low yang dikehendaki pihak berkuasa berkaitan skandal 1MDB, dipercayai bersembunyi di Macau, sebelum melarikan diri ke China, walaupun pegawai negara itu menafikan dakwaan berkenaan tahun lalu.

Beliau diburu agensi penguatkuasaan di beberapa negara sebagai sebahagian siasatan ke atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Polis Malaysia sebelum ini menjangkakan Jho Low akan ditahan “tidak lama lagi”.

Kerajaan memfailkan saman pelucutan hak sivil terhadap bapanya, Larry Low, untuk membekukan 7 akaun banknya yang dikatakan bernilai RM48 juta.