Biro Politik PKR bincang isu video seks petang ini

Fahmi Fadzil berkata, Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat PKR pada 6 petang ini.

PETALING JAYA: Mesyuarat Biro Politik PKR hari ini dijangka membincangkan isu klip video seks sejenis didakwa membabitkan seorang menteri yang juga pemimpin kanan dan seorang ahli parti itu, kata Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.

Katanya, isu klip video seks itu yang hangat dibincangkan ketika ini bukan agenda utama mesyuarat itu.

“Mesyuarat Biro Politik PKR dijangka bermula 6 petang ini di Ibu Pejabat PKR. Isu ini mungkin antara yang akan dibincangkan kerana ia baru saja berlaku dan hangat diperkatakan.

“Jadi, kemungkinan untuk bincang itu ada,” katanya kepada FMT.

Muhammad Haziq Aziz dalam video 30 saat yang dimuat naik ke Facebook kira-kira 3 pagi tadi, mengaku terbabit dalam klip video seks sejenis itu dan menamakan seorang menteri kanan yang turut muncul dalam rakaman berkenaan.

Beliau yang menganggotai PKR Bahagian Santubong di Sarawak, turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat menteri itu yang disifatkannya “bukan individu layak menjadi pemimpin”.

Katanya, kelakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu baru-baru ini.

Sekurang-kurangnya 3 klip video kelihatan seperti keadaan dalam sebuah bilik hotel dengan bunyi buletin berita asing kedengaran, disebarkan di WhatsApp sejak semalam bersama tangkap layar transaksi RM3 juta sebuah syarikat kejuruteraan kepada seorang menteri 2 tahun lalu.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dilaporkan menggesa semua pihak berhenti menyebarkan klip video itu yang disifatkannya politik kotor.