Bukan salah pesawah, ada faktor lain jejas hasil padi rendah, kata NGO

Pengerusi Pesawah, Mohd Fuad Yaakob berkata, pihak berkuasa perlu mengetahui tanah untuk penanaman padi di setiap negeri berbeza dan benih sama sudah digunakan selama 4 tahun. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi tidak hanya bergantung kepada pesawah, sebaliknya ia memerlukan bantuan setiap pihak berkaitan, kata pertubuhan memperjuangkan nasib pesawah padi.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berkata, kerajaan tidak sewajarnya menuding jari kepada pesawah, tetapi perlu meneliti semua aspek bagi mencari punca hasil pengeluaran padi rendah.

“Jika hendak realisasikan perkara tersebut, ia kena bermula dengan benih berkualiti, baja yang bersesuaian dengan tanah. Baja yang diberikan tidak pernah bertukar, kadangkala baja tidak sesuai dengan tanah.

“Tanah di Kelantan tidak sama dengan tanah di Kedah. Benih juga sama, kadang-kadang benih jenis sama digunakan pada setiap musim, sudah sampai 4 tahun juga tidak bertukar,” kata Pengerusi Pesawah, Mohd Fuad Yaakob kepada FMT.

Semalam, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menggesa pesawah padi mengeluarkan lebih banyak hasil bagi meringankan beban kerajaan yang terpaksa memberikan subsidi lebih RM1.8 bilion setahun kepada 200,000 pesawah.

Katanya, ramai pesawah hanya memperoleh hasil sekitar 4 tan padi di atas tanah seluas 1 ekar, sedangkan mereka mampu mengeluarkan 8 tan padi dengan kaedah betul.

Fuad berkata, proses penanaman padi tidak sama dengan tanaman lain seperti kelapa sawit yang hanya perlu menanam sekali dan mampu mengeluarkan hasil setiap tahun.

“Kami memang hendak hasil yang tinggi, tidak ada pesawah yang tabur padi kemudiannya mahu hasil yang rendah sebab pendapatan kita itu sahaja.

“Kita memang usaha sebaik mungkin, namun apabila tiba musim menuai, datang pula angin ribut, padi tumbang kena air. Buat dulu baru tahu, bukan hanya bercakap.”

Katanya, Lembaga Pertubuhan Peladang, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu turun padang untuk memahami keadaan dan masalah sebenar pesawah serta punca hasil pengeluaran padi rendah.

“Kita ikut panduan penanaman padi, tetapi tidak menjadi jugak, jadi apakah masalahnya? Mungkin benih padi dan racun tidak berkualiti serta baja yang tidak sesuai digunakan.

“Untuk dapat hasil yang baik, ia bermula daripada penyediaan benih sehingga padi masak. Mereka sendiri perlu tunjukkan kepada peladang. Hasil bercakap dengan mulut, dengan bertindak guna tangan tidak sama.”

Beliau berkata, cadangan pertanian campuran tidak sesuai dilakukan di tanah sama dengan penanaman padi.

“Tanah sawah ini sentiasa berair. Kalau disembur racun padi dan terkena kepada sayur-sayuran berkemungkinan besar akan beri kesan kepada sayur-sayuran. Pasti sayur-sayuran akan layu, ia tidak sesuai.”