Coklat cegah pembentukan plak gigi kanak-kanak

Umumnya semua tahu bahawa coklat dan kanak-kanak tidak dapat dipisahkan kerana boleh dikatakan hampir setiap kanak-kanak menggemari coklat.

Namun, ibu bapa sering menyekat daripada memberi coklat kepada kanak-kanak dan beranggapan coklat jenis makanan yang perlu dielakkan.

Dan antara penyebab ibu bapa tidak menggalakkan anak makan coklat adalah kerana khuatir gigi anak rosak dan takut anak menjadi gemuk.

Namun di sebalik keburukan coklat, mungkin tidak ramai ibu bapa yang tahu bahawa kandungan di dalam coklat itu juga mengandungi khasiat untuk tumbesaran kanak-kanak.

Coklat mengandungi karbohidrat, protein, lemak, dan vitamin, yang baik untuk tumbesaran kanak-kanak.

Selain itu, coklat mengandungi antioksidan yang membantu melindungi tubuh daripada radikal bebas.

Coklat juga dapat membantu anak anda melegakan tekanan dan tenteramkan emosi mereka.

Malah, antioksidan ini juga mampu membaiki dan menguatkan sistem imunisasi badan si manja.

Kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkan anak mengambil coklat kerana kandungan kafein yang ada pada coklat.

Malah, ada juga ura-ura yang mengatakan kandungan kafein yang ada dalam coklat menyebabkan kanak-kanak menjadi terlalu aktif dan sukar tidur.

Namun, tahukah anda sebenarnya kafein yang ada dalam coklat adalah sangat kecil jumlahnya daripada yang ada dalam secawan kopi.

Sebagai contoh, satu auns coklat hanya mengandungi 5 miligram kafein manakala satu cawan kopi mengandungi antara 93 hingga 153 miligram kafein secawan.

Jadi, pengambilan coklat dalam kuantiti yang sedikit dan sekali-sekala adalah tidak memudaratkan kesihatan anak anda.

Selain itu, coklat juga mengandungi magnesium yang dapat membantu membina otot dan menguatkan tulang kanak-kanak.

Malah, kandungan tenaga dan protein yang ada dalam coklat baik untuk menambahkan stamina kanak-kanak terutama di peringkat usia mereka yang sedang lasak.

Ramai juga ibu bapa yang mengalami masalah anak cerewet makan.

Namun, dengan memberi anak makan coklat, anda tidak perlu risau kerana secawan coklat panas boleh membantu meningkatkan selera makan anak anda.

Ramai juga ibu bapa yang percaya bahawa pemberian coklat kepada kanak-kanak boleh menyebabkan gigi mereka rosak.

Namun, menurut Lembaga Koko Malaysia, kajian yang dilakukan menunjukkan sebenarnya salah satu bahan yang ada dalam serbuk koko dapat menghalang pembiakan bakteria daripada membentuk plak gigi.

Malah, kandungan fosforus pada coklat dapat menguatkan gigi kanak-kanak.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]