Hentikan spekulasi masa depan Chong Wei, kata menteri

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Chong Wei sendiri masih berdiam mengenai masa depannya setelah sembuh daripada kanser hidung yang dihidapinya tahun lepas.

SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung masa depan jaguh badminton negara, Lee Chong Wei yang dilaporkan berhasrat menggantung raket sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk membincangkan perkara berkenaan memandangkan Chong Wei sendiri masih berdiam mengenai masa depannya setelah sembuh daripada kanser hidung yang dihidapinya tahun lepas.

“Kita tunggu dulu keputusan beliau dan berikan beliau ruang yang secukupnya untuk membuat keputusan kerana beliau sudah banyak menyumbang untuk negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Chong Wei dijangka mengumumkan persaraannya minggu depan, selepas 19 tahun mencurah bakti dalam sukan badminton.

Dalam perkembangan berasingan, Syed Saddiq berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk mengisi jawatan pesuruhjaya sukan, namun setiap permohonan akan ditapis bagi memastikan hanya calon layak mengisi jawatan berkenaan.

Kerusi pesuruhjaya sukan kosong setelah Zaiton Othman menamatkan khidmatnya pada 8 Mac lepas. Beliau memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

“Sekarang kita sudah buka permohonan dan kita akan melalui wawancara yang telus, sebelum nama calon sesuai dimuktamadkan.

“Paling penting, kita mendapat calon yang sesuai kerana kita tidak mahu main lantik saja ikut kuasa menteri,” kata Syed Saddiq.

Sementara itu, beliau menyokong keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis bagi menangani kemelut yang melanda persatuan sukan kebangsaan.

Katanya, penubuhan jawatankusa berkenaan tidak bercanggah fungsi Pejabat Pesuruhjaya Sukan memandangkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam membantu persatuan sukan kebangsaan memberi idea dalam menyelesaikan kemelut persatuan sukan di negara ini.