Latheefa serah siasatan menteri terima RM3 juta di bank luar negara pada timbalannya

Latheefa Koya berkata, SPRM akan menyiasat semua laporan secara profesional tanpa berpihak kepada sesiapa pun.

PETALING JAYA: Latheefa Koya yang baru dilantik menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata, timbalannya akan menyiasat laporan membabitkan transaksi meragukan daripada sebuah syarikat pembinaan ke akaun bank milik seorang menteri kanan.

Beliau merujuk laporan dibuat Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Lokman Noor Adam, semalam.

“SPRM akan menyiasat semua laporan secara profesional dan tidak berpihak kepada sesiapa. Siasatan bagi kes ini akan dikendalikan di bawah timbalan saya serta pasukan siasatan beliau.

“Saya tidak akan terlibat dalam apa-apa cara, sama ada siasatan atau membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Lokman menggesa SPRM menyiasat dakwaan transaksi meragukan itu yang didakwa dibuat menerusi sebuah bank di luar negara pada 19 Disember 2017.

Katanya, beliau mendapat dokumen daripada seorang individu berhubung pemindahan AS$741,440 (RM3.085 juta) dari sebuah syarikat pembinaan terkemuka tempatan ke satu akaun atas nama ahli politik itu.

“Kita buat laporan ini untuk memberi peluang khas kepada ketua pesuruhjaya yang baru membuktikan beliau tidak berat sebelah,” kata Lokman semalam.