Lebih 1,000 syarikat mohon kontrak kerja sivil ECRL

Projek ECRL dijangka siap pada Disember 2026.

PETALING JAYA: Lebih 1,000 syarikat pembinaan tempatan, termasuk Bumiputera memohon untuk mendapatkan sebahgian daripada 40% kerja sivil dalam projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion, kata pemilik projek Malaysia Rail Link (MRL).

Syarikat itu dalam satu kenyataan bersama kontraktor utama ECRL, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) berkata, sebanyak 1,321 permohonan diterima ketika program pendaftaran pra-kelayakan untuk mengenal pasti subkontraktor berpotensi pada 29 dan 30 Mei lalu.

Katanya, penyertaan syarikat pembinaan gred G7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendahului dengan 65% atau 859 syarikat daripada keseluruhan pendaftaran, diikuti G5 (134), G4 (132), G3 (104) dan G6 (92).

Beliau berkata, penyertaan syarikat Bumiputera juga memberangsangkan dengan 75.25% atau 994 syarikat kejuruteraan dan pembinaan menyertai program penyerahan dokumen pra-kelayakan.

“Kami berharap projek ECRL akan menjadi contoh projek kerajaan yang dapat memaparkan keupayaan kontraktor tempatan untuk bekerjasama dengan kontraktor antarabangsa dalam melaksanakan dan memenuhi piawaian tinggi projek infra berskala besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak.

Katanya, MRL akan bekerjasama rapat dengan CCCC dalam proses penilaian dan penyenaraian pendek syarikat berpotensi menyertai pakej kerja sivil ECRL.

Sementara itu, Pengarah Urusan CCCC, Bai Yinzhan berharap kontraktor tempatan akan meraih manfaat daripada kerjasama dan pemindahan teknologi menerusi projek ECRL.

Projek ECRL merangkumi jajaran sepanjang 640km dari Kota Bharu ke Putrajaya dan apabila siap pada Disember 2026, ia mampu memendekkan perjalanan kepada 4 jam.