Mahkamah kekalkan kemenangan BN di Parlimen Jasin

KUALA LUMPUR: Ahmad Hamzah kekal sebagai ahli Parlimen Jasin selepas Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen difailkan calon Pakatan Harapan, Khairuddin Abu Hassan terhadap keputusan pilihan raya umum ke-14 bagi kerusi itu.

Hakim Abu Bakar Jais memutuskan sedemikian selepas mendapati Khairuddin selaku pempetisyen gagal membuktikan elemen ketidakpatuhan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya menjejaskan keputusan pilihan raya itu.

“Peruntukan bawah Seksyen 32 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya memerlukan ini dibuktikan. Memandangkan pempetisyen bergantung pada alasan ini, ia tidak boleh dipertikaikan. Ia harus dibuktikan ketidakpatuhan mempengaruhi keputusan dan ia tidak terbukti.

“Lebih-lebih lagi, tiada ejen pengundian dan calon yang membantah apabila undian dikira dan mereka dengan sepenuh hati menerima keputusan pilihan raya itu. Mereka melihat sendiri setiap undi yang diberikan kepada calon,” katanya.

Abu Bakar memerintahkan Khairuddin membayar kos berjumlah RM400,000 iaitu RM200,000 kepada Ahmad selaku responden pertama manakala RM200,000 kepada responden kedua, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jasin, Zamrud Yahya serta responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 44 saksi memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang mengambil masa 25 hari.

Khairuddin ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dan akan terus bekerja demi kebajikan rakyat di Jasin.

Ahmad pula bersyukur keputusan memihak kepadanya dan tekad untuk terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Pada PRU14 lalu, Khairuddin tewas kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan 3 penjuru yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon PAS, Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lepas. Beliau diwakili peguam, V Muniandy sementara Mohd Hafarizam Harun mewakili Ahmad, dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili pegawai pengurus pilihan raya Zamrud Yahya serta SPR.