Masa depan menteri terpalit dakwaan seks sejenis di awangan, kata penganalisis

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpandangan masa depan politik menteri yang terpalit skandal seks sejenis “di awang-awangan” kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad diketahui pernah menolak ahli politik disebabkan masalah moral.

“Mungkin menteri terbabit tidak akan dihadapkan ke mahkamah tetapi dalam politik yang lebih penting adalah persepsi,” kata Kamarul Zaman Yusof kepada FMT, mengulas kesan penularan video seks mirip seorang menteri baru-baru ini.

Kamarul mengingatkan Mahathir sendiri pernah menyebut timbalannya sebelum ini, Anwar Ibrahim, ditolak disebabkan masalah moral.

“Jika menteri itu didapati terlibat dengan masalah moral, maka sudah tentu atas asas sama Mahathir tidak boleh menerima menteri itu sebagai pemimpin kanan yang berpotensi menggantikan beliau sebagai perdana menteri,” katanya.

Setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Akin hari ini membuat pengakuan gempar menamakan dirinya sebagai orang yang dilihat bersama seorang lelaki mirip seorang menteri kanan dalam beberapa klip video seks yang tersebar luas sejak semalam.

Mesyuarat Biro Politik PKR hari ini dijangka membincangkan isu klip video seks sejenis itu, kata Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.