Pengakuan gempar: Sayalah lelaki dalam aksi seks sejenis dengan menteri

Muhammad Haziq Aziz dalam video Facebook yang dimuat naik awal pagi ini.

PETALING JAYA: Setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Akin hari ini membuat pengakuan gempar menamakan dirinya sebagai orang yang dilihat bersama seorang lelaki mirip seorang menteri kanan dalam beberapa klip video seks yang tersebar luas sejak semalam.

Muhammad Haziq Aziz memuat naik video berdurasi 30 saat itu pada kira-kira 3.00 pagi tadi, dan turut menamakan menteri berkenaan, yang juga seorang pemimpin kanan PKR.

Haziq merupakan setiausaha sulit kanan kepada Shamsul.

Menurutnya, kelakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil baru-baru ini.

Haziq turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat menteri berkenaan.

“Dia bukanlah individu yang layak menjadi seorang pemimpin,” katanya.

FMT sedang menunggu respon daripada pejabat menteri yang dinamakan Haziq.

Pengakuan video itu bakal menyaksikan skandal terbesar melibatkan kerajaan Pakatan Harapan sejak kemenangan pilihan raya umum tahun lalu.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau belum melihat klip video berkenaan.

“Saya tak tahu apa pun, saya baru dengar, saya kena baca dulu. Kalau awak (wartawan) boleh bagi ‘briefing’, boleh juga,” katanya pada sidang media di Putrajaya semalam selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution.