Persatuan teksi dakwa ‘dipulau’ Kementerian Pengangkutan, terpaksa minta bantuan pihak lain

Yayasan Wilayah Persekutuan akan memberi insentif dalam bentuk caruman Perkeso kepada kira-kira 10,000 pemandu teksi berdaftar di Kuala Lumpur, manakala kerajaan Melaka akan membantu 1,000 pemandu teksi di negeri itu.

PETALING JAYA: Sebuah persatuan teksi mendakwa ia terpaksa meminta bantuan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mendapatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi ahlinya, setelah dipulau secara berterusan oleh Kementerian Pengangkutan.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain mendakwa Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menutup semua pintu rundingan dengan pihaknya sejak memegang jawatan itu tahun lalu.

“Sebenarnya, pihak kami bukan tak nak minta pertolongan Kementerian Pengangkutan, tetapi Loke langsung tak nak bincang dengan kami.

“Seolah-oleh pemandu teksi bukan rakyat Malaysia. (Sudah) 8 kali kita hantar surat, tetapi langsung tak dibalas.

“Jadi, kita minta sedikit bantuan daripada Kementerian Wilayah dan kerajaan Melaka untuk caruman Perkeso,” katanya kepada FMT berhubung tindakan persatuannya meminta bantuan Kementerian Wilayah Persekutuan, kerajaan Melaka dan Selangor bagi mendapatkan caruman Perkeso untuk ahlinya.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata kira-kira 10,000 pemandu teksi berdaftar di Kuala Lumpur bakal menerima insentif dalam bentuk caruman Perkeso daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam masa terdekat.

Khalid yang juga pengerusi YWP berkata, pihaknya prihatin dengan nasib pemandu teksi yang mendakwa pendapatan mereka terjejas teruk disebabkan perkhidmatan e-hailing.

“Jumlah insentif berkenaan kira-kira RM17 sebulan bagi setiap pemandu dan kami menganggarkan kos keseluruhan kira-kira RM1.2 juta atau RM1.3 juta.

“Saya sudah meminta Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun menghubungi Gabungan Teksi Malaysia untuk mendapatkan jumlah sebenar pemandu teksi yang memerlukan bantuan,” kata Khalid semalam.

Kamarudin mengucapkan terima kasih kepada Khalid dan kerajaan Melaka yang turut memberi bantuan caruman Perkeso untuk 1,000 pemandu teksi berdaftar di negeri itu.

“Pihak kami amat berterima kasih pada Khalid dan panjat syukur. Reaksi percakapan Khalid menunjukkan beliau memang berminat bantu pemandu teksi.

“Kami faham negara hadapi krisis ekonomi, tetapi kita tak minta bantuan terlalu tinggi.”

Beliau berkata, pihaknya turut menghantar surat kepada kerajaan Selangor untuk memohon bantuan caruman Perkeso bagi pemandu teksi di negeri itu.