PKR buat laporan qazaf dakwaan seks sejenis terhadap Azmin esok

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Hilman Idham bercakap kepada pemberita di majlis solat hajat berkaitan dakwaan seks sejenis terhadap Azmin Ali di kediaman rasmi menteri besar Selangor malam tadi.

SHAH ALAM: Pemuda PKR akan membuat laporan qazaf terhadap dakwaan seks sejenis yang dikaitkan dengan timbalan presiden mereka, Mohamed Azmin Ali di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan esok.

Timbalan Ketua Pemuda, Hilman Idham berkata laporan qazaf itu akan menyusuli satu laporan polis terhadap “pengakuan jenayah oleh seorang pemuda” berkaitan isu itu.

“Kita akan lawan fitnah ini habis-habisan. Kita akan lawan setiap yang bersekongkol dengan pembuat fitnah tersebut,” katanya kepada pemberita di satu majlis solat hajat berkenaan isu itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor malam tadi.

Terdahulu, Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat “tuduhan jahat”.

Awal hari ini, pegawai kepada Naib Presiden Shamsul Iskandar, Muhammad Haziq Aziz mendakwa individu dalam video itu adalah Azmin dan dirinya.

Beliau juga mendakwa video itu dirakam pada 11 Mei lepas di Sandakan ketika pilihan raya kecil Parlimen lepas.

Hilman, yang juga setiausaha politik Azmin berkata, beliau sentiasa berada di sisi Azmin sepanjang PRK Sandakan dan mengatur programnya di sana.

“Saya ada sewaktu beliau tiba di lapangan terbang hingga beliau balik semula ke lapangan terbang,” katanya.

“Saya datang lebih awal dari beliau dan saya tinggalkan Sandakan selepas beliau pulang. Saya juga tidak nampak Haziq.”

Sementara itu, Hilman sempat membidas jawatankuasa disiplin parti kerana tidak bertindak terhadap dakwaan Haziq.

“Apabila beliau mengakui terlibat jenayah, beliau harus dipecat serta-merta,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan Bukit Aman sudah membuka kertas siasatan terhadap video seks itu.