SKMM siasat penyebaran kandungan lucah, sekat laman web

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada semua pihak agar tidak memuat naik, menyebar atau berkongsi “kandungan yang jelik dan lucah”, ketika orang ramai gempar dengan video seks yang didakwa membabitkan individu mirip seorang menteri.

Video seks sejenis itu tersebar di WhatsApp sejak semalam.

“Pihak yang didapati melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia boleh dikenakan penjara selama setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SKMM berkata ia akan menyiasat kes-kes penyebaran kandungan seperti itu serta akan menyekat laman-laman web yang didapati menyebarkan kandungan berkenaan.

“Kerjasama dengan pihak pengendali platform seperti Facebook turut diambil untuk memastikan kandungan lucah tersebut tidak tular,” katanya.

SKMM berkata ia akan terus mengambil langkah sewajarnya memantau penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.