Syazlin kembali wakili keluarga Adib, jawab alasan Tommy Thomas

PETALING JAYA: Peguam Syazlin Mansor hari ini mengumumkan dia akan kembali mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, yang meninggal dunia selepas tercedera dalam rusuhan kuil Seafield tahun lepas, dalam inkues menentukan punca kematian anggota bomba itu.

Syazlin menarik diri daripada mewakili keluarga Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bomba dalam inkues itu bulan lepas.

“Ayab Adib minta saya teruskan. Saya memang rapat dengan keluarga Adib dan selalu berhubung, jadi saya rasa saya patut teruskan,” katanya pada sidang media di Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini.

Sebelum ini, Peguam Negara Tommy Thomas menjelaskan Jabatan Peguam Negara tidak isu jika Syazlin terus mewakili keluarga Adib, tetapi menyenaraikan beberapa sebab kenapa Syazlin patut menolak pelantikan kerajaan.

Thomas menjelaskan peguam luar mestilah dilantik oleh peguam negara atau pendakwa raya; Syazlin berada dalam kedudukan konflik kepentingan kerana mewakili KPKT, bomba dan keluarga Adib; Syazlin dalam kapasiti sebagai peguam KPKT sering mengambil kedudukan yang bercanggah daripada kedudukan yang diambil timbalan pendakwa raya; dan Syazlin adalah isteri kepada setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Syazlin hari ini berkata pelantikannya tidak perlukan kelulusan peguam negara kerana dia bukan mewakili pendakwa raya dalam inkues itu.

“Dalam hal ini, menteri melantik saya sebagai seorang peguam dan bukannya sebagai pendakwa raya,” katanya.

Syazlin juga menolak dakwaan wujud konflik kepentingan kerana keluarga Adib bukannya mahu menyaman KPKT dan bomba.

“Ayah Adib juga menyatakan Adib gembira menerima kunjungan anggota bomba semasa dalam rawatan. Sekiranya benar Adib dilanggar kawan, adakah Adib gembira menerima mereka di hospital?” katanya.

Syazlan mempertahankan kedudukan-kedudukannya yang bercanggah daripada kedudukan timbalan pendakwa raya, mengatakan sudah menjadi tugasnya sebagai peguam kepada pihak-pihak yang diwakilinya untuk membantu siasatan koroner.

“Apakah inkues tidak boleh mempersoalkan dapatan dan teori pakar?” katanya.

“Tambahan pula, sewaktu di peringkat pengurusan, pegawai pengendali maklum mengenai kedudukan saya.”

Syazlin juga mempersoalkan kenapa peguam negara menimbulkan hubungannya dengan pegawai menteri.

“Dari awal lagi saya mewakili pihak-pihak berkepentingan itu secara pro bono. Pegawai pengendali juga dari awal tahu berkenaan hal ini,” katanya.

“Saya terkilan apabila peguam negara mengheret suami saya dalam isu ini.”