Tak masuk akal Kelantan tak tahu lombong besi di Kuala Koh, kata timbalan menteri

Tengku Zulpuri Shah Raja Puri menunjukkan air takungan daripada aktiviti perlombongan bijih besi berhampiran penempatan penduduk Orang Asli ketika meninjau suku kaum Batek di Kuala Koh, pada 9 Jun lalu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata mustahil kerajaan Kelantan tidak mengetahui terdapat kawasan perlombongan bijih besi berhampiran penempatan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah yang menafikan perkara itu sebagai tidak masuk akal.

Beliau berkata, semakan pihaknya menunjukkan pelombong itu mendapat lesen untuk melombong sehingga 2023.

“Sebelum sesebuah syarikat itu dibenarkan melombong di sesuatu kawasan, mereka perlu mendapatkan lesen melombong daripada kerajaan negeri dan lesen pengoperasian daripada kerajaan pusat, jika tidak mereka dikategorikan sebagai pelombong haram.

“Hasil semakan, kita mendapati syarikat berkenaan memperoleh lesen perlombongan sehingga 2023…tetapi lesen pengoperasian yang dikeluarkan kerajaan pusat telah tamat pada 2017 disebabkan syarikat itu tidak mematuhi Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Jadi, kenyataan itu (tiada kawasan perlombongan bijih besi) memang tidak masuk akal kerana saya sendiri turun padang dan mesin untuk menjalankan kerja berkenaan masih ada di kawasan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, Amar memaklumkan kepada media, tiada sebarang rekod mengenai aktiviti perlombongan sah di kawasan itu dan perkara itu turut diakui Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

Beliau dilaporkan berkata, dakwaan penduduk dijangkiti radang paru-paru kerana sumber air tercemar akibat kewujudan lombong haram itu tidak tepat kerana ia adalah penyakit bawaan udara.

Mengulas perkara itu, Tengku Zulpuri berkata, jika ia disebabkan penyakit bawaan udara, mengapa hanya suku Batek yang dijangkiti penyakit itu.

“Jadi, masih terlalu awal juga untuk mengatakan penyakit ini bukan berpunca daripada sumber air walaupun sebelum ini Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) mengesahkan ia bebas daripada bahan radioaktif.

“Mereka perlu pantau kandungan air berkenaan untuk satu tempoh panjang melibatkan keadaan cuaca panas mahupun selepas hujan, barulah keputusan dapat diperoleh dengan tepat dan bukannya dengan mengambil bacaan sekali saja.”

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mengesahkan setakat ini, sumber air di beberapa tempat sekitar Kuala Koh bebas daripada sebarang pencemaran dan radioaktif berdasarkan ujian dan pengesanan menggunakan alat mengesan pencemaran ke atas sampel air dari kawasan bekas tapak lombong, air tandak, air dari kawasan Aring 10, air sungai dan sumber lain berhampiran.