Tragedi radioaktif Bukit Merah mungkin berulang kerana Lynas, kata NGO

Kilang Lynas bernilai AS$800 juta di Gebeng, Kuantan. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) memberi amaran kemungkinan berulangnya tragedi Bukit Merah jika kerajaan mengecualikan Lynas Malaysia daripada undang-undang untuk mengawal sisa radioaktif.

Jehan Bakar yang mengetuai MNS Pahang berkata, penduduk Kuantan terdedah kepada risiko pencemaran yang pernah dialami penduduk Bukit Merah di Ipoh pada 1980-an.

Dalam insiden itu, sejumlah besar “thorium hydroxide” dijumpai di Papan pada 1984, sebuah kampung berhampiran Bukit Merah. Siasatan mendapati sisa radioaktif itu datang dari sebuah kilang nadir bumi yang mula beroperasi pada 1979.

Kanak-kanak di kawasan itu dikesan mempunyai kandungan plumbum tinggi dalam darah mereka dan ujian klinikal mendapati sebilangan daripada mereka menghidap kanser dan penyakit autoimun.

“Apakah kita tidak pernah belajar daripada sejarah,” kata Jehan kepada FMT.

“Lynas harus mengambil langkah yang perlu dengan segera. Jika tidak, tragedi Bukit Merah akan berulang.”

Jehan mendakwa Lynas melanggar peraturan pelesenan yang mewajibkan kilang itu melupuskan sisa radioaktifnya dalam tempoh setahun pengeluarannya.

“Ia mempunyai sisa 5 hingga 6 tahun yang disimpan di belakang kilang itu sekarang. Kenapa ia diberikan layanan istimewa?” soalnya.

Katanya, “dengan lebih 1 bilion tan sisa berusia lebih 180 hari” disimpan di belakang kilang itu, Lynas jelas melanggar Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang mengehadkan penyimpanan 20 tan sisa radioaktif bagi maksimum 180 hari.

“Mereka mendapat pengecualian cukai selama 12 tahun dan sekarang boleh melanggar undang-undang kita,” sindir beliau.

Beliau menolak cadangan Lynas mengitar semula sisa berkenaan dan bahan buangan kimia itu tidak boleh digunakan di kawasan awam kerana berisiko menjejaskan kesihatan orang ramai.

Beliau turut menyelar Jabatan Alam Sekitar gagal melindungi alam sekeliling dan mendakwa ia “lebih kepada bersubahat” dalam memudahkan operasi Lynas.

Jehan menggesa penduduk Kuantan tidak membiarkan pihak lain bertindak sesuka hati dan menyuarakan sokongan untuk Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang terus menentang Lynas beroperasi di negara ini.

Bulau lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Lynas dibenar meneruskan operasi kilangnya di Gebeng, Kuantan.

Kenyataan perdana menteri itu menjawab tanda tanya mengenai masa depan kilang bernilai AS$800 juta itu, selepas Putrajaya menangguhkan pembaharuan lesen operasinya.